Home Tempatan Bina Masjid, Kerajaan Tidak Semberono Rampas Tanah Individu, Penghasut Boleh Didakwa-JAIS

Bina Masjid, Kerajaan Tidak Semberono Rampas Tanah Individu, Penghasut Boleh Didakwa-JAIS

SHARE

KUALA LUMPUR: Dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan mengambil tanah untuk pembinaan masjid secara sesuka hati dan berkemungkinan berbuat sedemikian tanpa membayar apa-apa pampasan kepada pemilik tanah persendirian boleh dilihat sebagai berniat mahu merumitkan keadaan dengan mencetus isu sensitif, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato`Haris Kasim.

Menurutnya, bukan sahaja masjid malah apa saja bangunan yang kerajaan hendak bina di atas tanah milik individu mesti dibayar pampasan dan itu telah terkandung dalam Akta Pengambilan Tanah.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana belum pernah terjadi mana-mana pihak kerajaan membangunkan apa-apa bangunan di atas tanah persendirian tanpa membayar sebarang pampasan.

“Saya pun tak faham apa maksud dia (Louis Liaw). Cuba tanya dia balik apa yang dia maksudkan? Adakah terbukti kerajaan buat apa-apa bangunan atas tanah individu yang tak dibayar pampasan? Sila bagi contoh,” katanya.

Terdahulu, Louis Liaw menegaskan, Kerajaan tidak boleh mengambil tanah untuk pembinaan masjid sekiranya tanah ini diambil tanpa membayar pampasan kepada tuan tanah. Jika kerajaan tidak membuat bayaran pampasan, tindakan ini boleh dicabar di mahkamah.

Dato’ Haris berkata, sebenarnya tindakan boleh diambil terhadap pihak yang melanggar syarat ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 128 dan Seksyen 129 Kanun Tanah Negara 1962 (Akta 56), Seksyen 20 dan Seksyen 26 Akta Jabatan Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Seksyen 70(12) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan lain-lain.

Menurutnya, tindakan diambil kerajaan itu tidak bermakna penganut agama lain tidak boleh membina rumah ibadat, cuma, mereka perlu melakukan permohonan melalui Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Katanya, permohonan itu akan dinilai oleh Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan setiap permohonan yang diluluskan itu akan dikemukakan kepada Bahagian Pentadbir Tanah Daerah yang berkenaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penilaian tapak cadangan pembinaan rumah ibadat berkenaan.

Ditanya adakah pernah berlaku sebelum ini yang mana JAIS disaman kerana mengambil tanah untuk tujuan pembinaan masjid? Beliau menjawab, pihaknya tidak pernah mengambil tanah secara suka-suka, ianya tertakluk kepada undang-undang dan akta yang ditetapkan. Sehingga kini, belum ada rekod yang mana JAIS mengambil tanah persendirian untuk tujuan pembinaan masjid. Jika ada pun, pampasan akan diberikan, namun kebanyakannya merupakan tanah yang diwakafkan khas untuk tujuan pembinaan masjid.

“Persoalannya, adakah kerajaan ada bina masjid di atas tanah milik individu setakat ini? Kenapa pihak berkenaan menjadikan masjid sebagai isu? Ini jelas pihak yang terbabit hanya mahu merumitkan keadaan dengan menjadikan perkara itu sebagai isu sensitif,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan boleh mengambil tindakan kepada pihak yang merumitkan keadaan dengan berniat menjadikan perkara itu sebagai isu sensitif.

Menurut Dato’ Haris, terdapat beberapa kesalahan mengenai masjid yang boleh dihukum di bawah undang-undang antaranya ialah di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559) (1) Menghina, membantah, tidak patuh dan mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong, Majlis dan Mufti.

Comments