Home Tempatan Bimbing mualaf ilmu al-Quran

Bimbing mualaf ilmu al-Quran

SHARE

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kembara Iman Malaysia (Kembara Iman) menubuhkan Rumah Ngaji dalam usaha mendidik saudara baharu untuk lebih mengenali ilmu berkaitan al-Quran.

Pengerusi Syu’ban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) merangkap Pengerusi Rumah Ngaji Putra Heights, Mohd Fakaruddeen Che Omar berkata, langkah itu dilakukan bagi membimbing mualaf yang memeluk Islam dalam tempoh kurang lima tahun.

“Kita dapati mereka perlukan bimbingan kerana masih ramai yang tak dapat baca al-Quran secara fasih dalam tempoh itu.

“Kita akan laksanakan Rumah Ngaji ini setiap kali program Kembara Iman yang diadakan di seluruh negeri,” katanya pada majlis pelancaran Kembara Iman Siri ke-3 dan program Keluarga Mawaddah tahun 2017, di bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini, semalam.

Pelancaran Rumah Ngaji berkenaan diadakan serentak dengan dua program tersebut oleh Timbalan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (al-Qura), Ahmad Talmizi Yahaya.

Sementara itu, Pengerusi Kembara Imam yang juga selebriti terkenal, Adam Corrie Abdullah berkata, program Kembara Iman saudara baharu ini tercetus hasil idea isterinya, Fazima Mohamed Fuad selepas melihat dirinya melalui satu transformasi dan peningkatan pemahaman dalam mengenali Islam.

“Setakat ini sudah dua program Kembara Iman ke Makkah dan Madinah yang dilaksanakan pada 2015 dan 2016.

“Program ini mendapat sokongan Perkim, MAIWP, syarikat swasta dan orang perseorangan,” katanya.

Menurutnya, pada 2017 ini, Pertubuhan Kembara Iman 3 telah mengorak langkah dan mengadakan pelbagai program dakwah bagi saudara baharu dan tidak hanya tertumpu kepada program umrah.

“Tumpuan diberikan kepada saudara baharu yang memeluk Islam kurang tempoh lima tahun.

“Sepatutnya 40 hingga 50 saudara baharu ini berlepas ke Makkah untuk melaksanakan umrah pada Februari ini bagaimanapun ia ditangguhkan kepada April dan November disebabkan kekurangan dana,” katanya.

Sinar Online

Comments