Home Pendapat Bila Umat Islam Menjadi Hidangan Serigala

Bila Umat Islam Menjadi Hidangan Serigala

SHARE

Sekatan kemasukan pelarian dari tujuh buah negara Islam ke Amerika Syarikat oleh Donald Trump. Ko Ni, seorang peguam Muslim yang lantang bersuara terhadap sentimen anti-Islam merangkap penasihat Suu Kyi mati ditembak di Lapangan Terbang Yangon, Myanmar. Enam orang Muslim mati ditembak ketika sedang bersolat di Masjid Quebec, Kanada. Perang politik di Malaysia, melihatkan tentangan dari beberapa golongan terhadap pindaaan akta 355.

Satu persamaan yang dapat dilihat berdasarkan semua serangan yang berlaku di atas adalah Islam. Islam dan umat Islam ditindas dengan dahsyat di seluruh dunia. Awal permulaan tahun 2017, kita telah disajikan dengan satu demi satu kekejaman yang dilakukan ke atas umat Islam yang tidak pernah dibayangkan selama ini. Satu ironi apabila Presiden Amerika Syarikat mengenakan sekatan kemasukan pelarian terhadap tujuh buah negara Islam, negara-negara yang dimusnahkan oleh tentera-tentera dari negaranya sendiri.

Muslim menjadi pelarian di negara mereka sendiri, tiada tempat untuk berlindung dan kembali. Mereka yang bertanggungjawab hanya membutakan mata dan memekakkan telinga atas kesengsaraan yang dihadapi oleh Muslim ini. Peguam Muslim yang ditembak mati di Lapangan Terbang Yangon sedang mendukung kanak-kanak ketika kejadian tidak berperikemanusiaan itu berlaku. Kekejaman yang tidak berhati perut seperti ini amat jarang sekali dilihat di luar Timur Tengah.

Di Kanada, orang Islam yang tidak bersenjata ditembak mati ketika sedang bersolat. Kesalahan apakah yang dilakukan oleh Muslim dan Islam sehingga dijatuhkan hukuman yang berat sebegini? Peristiwa yang berlaku di Kanada merupakan satu fakta yang amat menghairankan. Bagaimana kejadian tembak-menembak sehingga membunuh orang awam yang tidak bersalah boleh berlaku dalam negara di mana rakyat tidak perlu mengunci pintu rumah masing-masing kerana jaminan keselamatan yang kukuh?

Satu ketika dahulu di Malaysia, semua parti politik bersatu padu demi mencapai kemerdekaan. Akan tetapi, wujud golongan yang menginginkan agar gabungan parti pemerintah sekarang dibubarkan. Ini menunjukkan satu perkara yang pasti; mereka menginginkan sesuatu yang mengatasi kepentingan keamanan dah keharmonian negara itu sendiri. UMNO merupakan penyumbang terbesar barisan pentadbiran negara dan telah diberi amaran awal oleh golongan yang menentang pindaan Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah atau lebih dikenali sebagai Akta 355 agar tidak bersetuju dengan pindaan ini.

Walaupun telah dimaklumkan bahawa akta ini hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja, akan tetapi ramai yang menyangkal kenyataan ini. Proses undang-undang ke atas pindaan akta ini terhalang atas sebab alasan yang mengatakan bahawa akta ini akan turut menjejaskan orang bukan Islam. Hanya dua perkataan yang sesuai untuk menggambarkan tuduhan yang dilemparkan oleh mereka yang menentang pindaan Akta 355 ini: tidak benar dan kurang bijak.

Selain agama Islam, satu lagi titik persamaan yang membawa kepada kebencian ini adalah salah faham terhadap Islam dan Muslim itu sendiri. Kenyataan berat sebelah tentang Islam dikeluarkan oleh para pemimpin di seluruh dunia menyebabkan masyarakat menentang Islam. Hasilnya adalah seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Masyarakat Muslim telah terpinggir di peringkat global, satu gambaran yang menunjukkan seluruh dunia seolah-olah telah bermuafakat untuk menentang dan membenci Islam.

Benarlah akan sabda Rasulullah S.A.W tentang keadaan Muslim di akhir zaman:

 “Hampir tiba masanya kalian direbuti seperti sekumpulan pemangsa yang merebut makanannya.” Maka seseorang bertanya: “Apakah kerana jumlah kami yang sedikit?” Rasulullah menjawab: ”Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih mengapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahn.” Seseorang bertanya: “Ya Rasulullah, apakah Al-Wahn itu?” Nabi S.A.W bersabda: “Cintakan dunia dan takutkan kematian.” Diriwayatkan oleh Abu Daud.

Comments