Home Tempatan Bila Tuanku Bertitah, Patuhlah – Pengarah JAIS

Bila Tuanku Bertitah, Patuhlah – Pengarah JAIS

SHARE

SHAH ALAM: “Memetik Titah Tuanku, “Masjid adalah tempat untuk beribadat bukan medan berpolitik”, jangan guna kepentingan peribadi itu untuk tujuan sesuatu,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Beliau turut menyelar tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang dikatakan menggunakan ruang solat Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang, Selangor sebagai tempat berpolitik, minggu lalu.

Menurutnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menzahirkan rasa teramat murka dan dukacita dengan tindakan Sivarasa dan turut menitahkan agar tindakan diambil ke atas nazir dan jawatankuasa masjid berkenaan.

Beliau berkata, “Apa yang tuanku bimbangkan itu, apabila dia (Sivarasa) berdiri atas nama ahli politik dan pasti akan menimbulkan perpecahan, maka itulah antara sebab tuanku tidak mahu ada unsur politik ketika sesiapapun berucap di dalam masjid.”

“Nanti akan menimbulkan kemarahan termasuklah mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan, sedangkan masjid merupakan tempat kita beribadat, jadi kena jaga dan peliharalah kesucian tempat-tempat ibadat itu,” katanya.

Dato’ Haris berkata, “Apabila ahli politik hadir di dalam masjid mesti akan ada perpecahan, kita sedia maklum parti politik kan banyak, ada BN, UMNO, PAS dan PAN serta berbagai lagi parti lain.”

Ketika ditanya adakah apa-apa tindakan yang boleh diambil ke atas Sivarasa kerana tidak menghormati peruntukan sedia ada dan meneruskan ceramah atau ucapan di rumah ibadah Muslim, Dato’ Haris Kasim berkata, perkara itu adalah di luar bidang kuasa beliau.

“Saya hanya tumpu kepada jawatankuasa masjid terlebih dahulu selain telah menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan JAIS bagi menyiasat secara lanjut kes ter­babit.”

Haris berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan menggantung tugas atau memecat nazir di masjid tersebut jika didapati bersalah.

Bagi menjawab persoalan adakah terdapat apa-apa peruntukan untuk membolehkan bukan Islam berceramah di masjid atau surau, Dato’ Haris Kasim berkata tidak ada sebarang peruntukan untuk membolehkan bukan Islam berceramah di masjid atau surau dan sepatutnya pihak berkenaan memahami tentang rumah ibadat orang Islam.

“Bagaimanapun, pihak JAIS masih menyiasat tujuan kehadiran mereka ke sini dan siapakah yang menjemput mereka berucap di sini sebelum melengkapkan data siasatan melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya.

Menjawab persoalan adakah terdapat tindakan yang diambil terhadap Khalid Samad mengenai kes sebelum ini iaitu Sultan pernah murka dengannya kerana Khalid mempersoalkan kuasa eksekutif yang ada pada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Haris Kasim menjelaskan apabila Tuanku Sultan bertitah, ia bermaksud semua rakyat kena patuh dan perkara itu perlu difahami terlebih dahulu.

“Jadi bukan sahaja Khalid Samad bahkan kalau sesiapa pun yang ingkar maknanya, seolah-olah macam dia melawan Tuanku, itu saja.”

“Perbuatan Khalid Samad itu maknanya, Tuanku menyelar dan murka dan bagi saya apabila Tuanku sudah murka, faham-faham sajalah,” katanya.

Dewasa ini terdapat banyak serangan ke atas Islam atas nama “kebebasan bersuara”. Persoalannya adakah terdapat apa-apa jenis tindakan yang boleh diambil ke atas penghasut-penghasut ini dan siapakah yang mempunyai locus standi untuk melakukannya?

Dato’ Haris Kasim menyatakan, “Jika didapati pihak berkenaan menghasut, jelas ia tertakluk kepada Akta Hasutan, siapa-siapa pun kalau dia mengaku dia beragama Islam dan terjejas di bawah hasutan, dia boleh mengadu di bawah undang-undang ini.”

Bagi menjawab persoalan mengenai apakah saranan dari pihak JAIS untuk orang bukan Islam yang ingin berceramah di masjid beliau berkata, “Sebenarnya, tidak dibenarkan mana-mana orang bukan Islam berceramah atau berucap di dalam masjid.

“Tidak ada saranan dari pihak JAIS di atas kelakuan tersebut,” tambahnya lagi.

Ditanya pendapat beliau mengenai adakah Islam dapat dikekalkan kedaulatannya jika ahli politik sekular dan liberal terus mempersoalkan kedaulatan dan kekuasaan Islam di seluruh negeri-negeri?

Dato’ Haris Kasim menjelaskan, “Perkara ini mesti dilihat dengan jelas, selain perlu dilihat tujuan tetapi seperti yang tuanku titahkan, jangan guna kepentingan peribadi itu untuk tujuan sesuatu, masjid tempat untuk beribadat, usah dijadikan medan politik.

Titah baginda, “Janganlah kita menyalahgunakan masjid untuk kepentingan diri sendiri terutama dalam hal keduniaan.”

Tetapi menurut Dato’ Haris, “Kalau misalnya kita nak bawa orang bukan Islam melawat supaya dia dapat hidayah itu perkara lain, perlu difahami dan dibetulkan niat itu terlebih dahulu.”

Beliau berkata, “Sebenarnya, di Masjid Negeri dan di Masjid Negara misalnya, ramai bukan Islam datang dan berminat untuk masuk dan tengok sendiri keadaan serta cara orang Islam beribadat dan kita boleh saja mendoakan mereka mudah-mudahan diberi hidayah.”

“Tetapi kalau dia ada tujuan untuk kepentingan peribadi itu yang tuanku tidak berkenan,” katanya bagi mengakhiri perbualan.

Comments