Home Tempatan Biarkan usul Pindaan RUU 355 dibentangkan – Mohamad Raimi

Biarkan usul Pindaan RUU 355 dibentangkan – Mohamad Raimi

SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan Usul Pindaan RUU 355 tidak akan dibentangkan di persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Menurutnya, kita perlu menunggu pihak yang berkenaan untuk membentangkan dan mendengar pembentangan terlebih dahulu secara keseluruhan kerana kita tidaklah mengejar masa walaupun persidangan rasmi itu cuma berbaki lebih kurang seminggu sahaja lagi.

“Biarkan usul Pindaan RUU 355 ini dibentangkan dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.

Menurut beliau, umum sedia maklum setakat ini, RUU 355 belum lagi dibentangkan dan selepas dibentangkan kita tunggu keputusan dan dengar sendiri pandangan dari pihak pengerusi yang bertanggungjawab membentangkannya.

Ditanya, adakah ini merupakan satu kejayaan daripada Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman Dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA) untuk melobi kerajaan supaya tidak membawa usul itu, Mohamad Raimi berkata, pihaknya tidak pasti versi yang cuba dibawa oleh JKPMKA.

“Setahu saya JKPMKA tidak pernah membuat pengumuman rasmi mengenai pendiriannya berhubung isu ini.”

“Yang pasti memang ada parti komponen BN iaitu MCA misalnya, yang konsisten menentang,” katanya.

Ditanya mengapakah pihak yang berkenaan giat menentang RUU 355, beliau berkata, semua ini disebabkan kepentingan politik selain masih ramai pihak yang tidak faham berbanding yang faham. Menurutnya, pada satu tahap kita harapkan agar isu ini diberi peluang oleh Parlimen untuk dibawa ke depan dan dibentangkan.

Beliau berkata, isunya, ia boleh jadi dibentang atau tidak dibentang, jika dibenarkan, ia akan dibentang mengikut konteks yang sepatutnya.

“Apa yang kita harapkan ialah agar kesemua Ahli Parlimen membuat keputusan dan berbahas mengikut kepentingan umum secara keseluruhan,” katanya.

Raimi berkata, keputusan dan mesej RUU 355 ini telah jelas dan kita mahukan Speaker Dewan Undangan Rakyat membuat keputusan dengan adil dan bijaksana.

Menurutnya lagi, matlamat RUU 355 ini terutamanya ialah kita mahukan Mahkamah Syariah diberikan kuasa-kuasa pentadbiran dan diberi taraf yang sama seperti Mahkamah Sivil bagi memartabatkan Institusi dan Perundangan Islam dan kita memang sokong untuk dibawa dan dibentang di Parlimen pada persidangan kali ini.

“Bagaimanapun, kita sama-sama menunggu keputusan penuh selepas dibentangkan kelak, sebelum membuat spekulasi awal kerana persidangan Parlimen masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Comments