Home Pendapat Beza Khitan & FGM Umpama Langit & Bumi

Beza Khitan & FGM Umpama Langit & Bumi

SHARE

Acapkali apabila kita dihidangkan berita berkenaan pemotongan alat kelamin perempuan atau Female Genital Mutilation (FGM) yang menjadi amalan tradisi dalam kalangan masyarakat utara Afrika Sub-Sahara, Mesir dan Yaman, setiap kali itu juga ada antara kita yang akan berasa terganggu. Memang tidak dinafikan sememangnya terdapat amalan (FGM) yang keterlaluan sehingga menimbulkan kecacatan kekal sehinggalah membawa kepada kematian. Namun begitu, sebab utama amalan tersebut adalah demi menahan perempuan dari rangsangan seksual dan menjaga keperawanan.[1]

Selalunya upacara ini dilakukan ke atas anak-anak perempuan berumur dalam lingkungan empat ke 12 tahun dalam upacara penggenapan umur menuju alam dewasa (rite of passage to womanhood).

Terdapat empat jenis pemotongan genital perempuan (FGM). Pertama, klitoridektomi iaitu pemotongan atau pembuangan sebahagian atau kesemua bahagian klitoris dan, atau kadangkala, melibatkan pembuangan prepus. Kedua, pemotongan klitoris dan labia minora yang dipotong sebahagian atau dipotong kesemuanya. Ketiga, infibulasi, di mana pengecilan faraj dilakukan melalui pemotongan bibir luar vagina yang kemudiannya dijahit. Jenis pemotongan alat kelamin perempuan yang terakhir adalah semua prosedur berbahaya melibatkan genital tanpa sebab perubatan seperti bertindik.[2]

Namun, apa yang menyedihkan ialah terdapat sekelompok kumpulan yang menyokong hak asasi manusia bawaan Barat telah menyamakan amalan khitan anak perempuan di dalam Islam dengan tradisi FGM yang biasa dilakukan di Sudan, Afrika, dan Mesir. Khitan anak perempuan dalam Islam ditentang oleh mereka atas salah faham dan salah fakta kononnya ia telah melanggar hak asasi kanak-kanak perempuan. Mereka menambah bahawa khitan yang dilakukan ke atas kanak-kanak perempuan merupakan satu bentuk penindasan dan paksaan kerana kanak-kanak yang masih kecil tidak mampu bersuara mengatakan persetujuan mahupun penolakan.

Sebenarnya, khitan anak perempuan berlandaskan Islam amat berbeza dengan pemotongan alat kelamin perempuan (FGM). Prosedur khitan menurut Islam adalah dengan membuang sebahagian kecil prepus, bukan membuang sebahagian besar atau membuang terus prepus seperti yang biasa berlaku menurut amalan dalam FGM. Di Malaysia, menurut Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, Timbalan Dekan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, mengatakan bahawa khitan anak perempuan dilakukan dengan cara memotong sedikit tisu klitoris atau sedikit tusukan “needle prick” dilakukan pada bahagian klitoris. Ini bertepatan dengan hadis berkenaan khitan anak perempuan:

Daripada Umm ‘Atiyyah Al-Ansariyah berkata, sesungguhnya seorang wanita berkhatan di Madinah. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ”Janganlah kamu berlebih-lebihan kerana hal itu akan lebih mendatangkan kenikmatan bagi wanita dan lebih disukai suami.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud).

Penerangan di atas sudah terang lagi bersuluh menunjukkan perbezaan ketara antara prosedur FGM dan khitan anak perempuan di dalam Islam.

Selain itu, pemotongan alat kelamin perempuan (FGM) dan khitan juga telah dikategorikan sebagai pengubahsuaian badan. Pengubahsuaian badan selalunya merujuk kepada amalan bertatu, bertindik, melakukan pembedahan plastik tanpa sebab perubatan, dan melecuhkan badan atau muka sendiri. Sebagai contoh, bibir atas anak perempuan puak Mursi di Afrika akan ditindik, dibiarkan kering lukanya dan kemudiannya diregangkan untuk dimasukkan pasak kayu ataupun plat tanah liat. Mereka percaya bahawa kelebaran bibir seseorang perempuan itu menunjukkan kekayaan ayahnya. Ini menarik perhatian orang lelaki untuk masuk meminang.[3]

Di samping itu, pembedahan plastik demi kecantikan dan pembedahan menukar jantina merupakan jenis pengubahsuaian badan yang paling popular mutakhir ini. Mereka sanggup melakukan pembedahan seperti itu demi mendapatkan kecantikan yang diinginkan dan menjadi jantina yang berlawanan dengan fitrah kejadian sendiri. Selanjutnya, pengukiran tatu dan pembelahan lidah kepada dua sehingga mengubah wajah dan fungsi sesuatu organ hanya kerana ianya mengikut trend semasa. Motif tatu yang popular sekarang adalah motif berciri binatang yang diukir meliputi keseluruhan wajah dan badan, dengan penambahan hujung lidah dibelah dua seperti lidah ular. Aneh, jijik dan menghairankan bagaimana mereka sanggup mengubah anggota badan sehingga ke tahap sedemikian.

Begitu juga dengan amalan sesetengah golongan yang mencederakan badan untuk mendapatkan keampunan ataupun ketika meraikan amalan-amalan tertentu. Sama ada ianya dilakukan dengan memasukkan sesuatu objek, pisau, kayu, besi tajam dan sebagainya ke dalam organ sedia ada seperti lidah, atau kaki dan tangan dipaku ke kayu sehinggalah kepada aktiviti memukul badan dengan bilah-bilah besi tajam sehingga melukakan tubuh badan, berdarah-parah.

Pengubahsuaian badan yang membawa keburukan dan kesakitan seperti inilah yang sepatutnya ditentang oleh masyarakat antarabangsa, bukan amalan khitan dalam Islam yang langsung tidak membawa sebarang kecederaan dan mudarat kepada yang dikhitan yang sudah terbukti bermafaat.

Kesimpulannya, khitan bukanlah terletak di bawah kategori yang sama dengan pemotongan alat kelamin perempuan (FGM) seperti yang berlaku di Afrika dan bukanlah salah satu bentuk pengubahsuaian badan. Golongan yang menentang dan menyamakan khitan anak perempuan dalam Islam dengan yang dikatakan seperti di atas perlu melakukan kajian dengan lebih mendalam lagi tentang amalan khitan ini agar tiada lagi salah faham yang berlaku di masa akan datang.

Rujukan

[1]Anika Rahman & Nahid Toubia (n.d). Female Genital Mutilation: A Practical Guide to Worldwide Laws and Policies (p.3). London& New York: Zed Books.

[2]http://apps.who.int/iris/bitstream/10665/77428/1/WHO_RHR_12.41_eng.pdf

[4] http://study.com/academy/lesson/cultural-body-modification-history-examples.html

Comments