Home Tempatan Bersemuka Majlis Penasihat Kerajaan, Mufti Perlis Bincang Isu JAKIM

Bersemuka Majlis Penasihat Kerajaan, Mufti Perlis Bincang Isu JAKIM

SHARE

Kuala Lumpur: “Majlis Penasihat Kerajaan meminta pandangan saya berkaitan pelbagai aspek termasuklah fatwa, pandangan Perlis berkenaan isu-isu membabitkan hak penjagaan anak, bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan yang dinafikan hak untuk ‘berbinkan Abdullah’ dan pelbagai isu lagi,” demikian jawapan SS Mufti Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin sepertimana yang dilaporkan oleh portal Malay Mail ketika ditanya berkenaan perjumpaan beliau dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham pagi tadi.

Turut dibangkitkan dalam pertemuan selama sejam itu adalah isu peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang akan dirombak. Dato’ Dr Mohd Asri yang turut dikenali sebagai Dr Maza bagaimanapun menolak untuk memberi penjelasan lanjut berkenaan perbincangan tersebut.

“Apa-apa keputusan terpulang kepada pihak kerajaan. Saya cuma memberikan pandangan saya sahaja,” jelas beliau lagi.

Dalam pertemuan itu juga, Dr Maza memberikan pandangan beliau mengenai isu-isu pendekatan Islam yang sepatutnya bagi Malaysia yang baharu ini dan mengutarakan pandangan Islam yang lebih adil yang merangkumi semua pihak iaitu Muslim dan bukan Muslim.

Dr Maza merupakan mufti pertama antara tiga mufti yang dijadualkan bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini selain daripada Mufti Pulau Pinang dan Mufti Johor.

Comments