Home Antarabangsa Bersalah rancang bakar masjid

Bersalah rancang bakar masjid

SHARE

TENNESSEE: Seorang lelaki semalam didapati bersalah merancang mengumpulkan militan dan membakar masjid, sekolah dan kafeteria di wilayah Islamberg di utara New York, yang diduduki ramai penduduk Islam pada 2015.

Robert Doggart, 65, disabitkan di Mahkamah Daerah di Chattanooga kerana memulakan kebakaran dan melanggar hak sivil, selain membuat ancaman dalam masyarakat, kata Jabatan Kehakiman dalam kenyataan bertulis.

Doggart ditahan ejen Biro Siasatan Persekutuan pada April 2015 selepas memberitahu pemberi maklumat menerusi panggilan telefon yang dirakam bahawa beliau merancang merekrut militan dan mengunjungi Islamberg, kira-kira 233 kilometer ke barat laut New York City.

Mereka bercadang membakar masjid komuniti itu dan menembak sesiapa saja yang cuba menghalang, menurut aduan jenayah.

“Defendan mahukan orang lain menyertai serangan ganas ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak kerana agama mereka,” kata Pemangku Timbalan Peguam Negara, Tom Wheeler, dalam kenyataan.

Peguam Negara berkata, Doggart membesarkan niatnya menyerang Islamberg selepas pemberi maklumat memberi galakan dan tidak mempunyai pelan kukuh melaksanakan rancangan itu, lapor Chattanooga Times Free Press.

Beliau berkata, Doggart percaya penduduk Islamberg dilatih melancarkan perang gerila terhadap Barat.

Islamberg yang dimulakan sekumpulan penduduk Islam Afrika-Amerika yang berpindah dari bandar raya seluruh Amerika Syarikat pada 1970-an, adalah komuniti tertutup dihuni kira-kira 200 anggota masyarakat. – Reuters

 

Berita Harian

Comments