Home Tempatan Berperwatakan Islami, India Larang Kemasukan Pelancong Malaysia

Berperwatakan Islami, India Larang Kemasukan Pelancong Malaysia

SHARE

Kuala Lumpur: Hasrat sekumpulan warga dari Pulau Pinang untuk melancong ke India tidak kesampaian selepas mereka dilarang memasuki negara itu setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai hanya kerana mereka kelihatan seperti pendakwah.

Mereka yang berjanggut, memakai jubah dan kopiah tiba di Chennai pada 10 malam Sabtu lalu (waktu India) dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH180 dari Kuala Lumpur, lapor Free Malaysia Today.

Salah seorang daripada mereka, Ahmad Ansari Abdul Jabbar, 51, tauke roti bakar Hutton Lane berkata mereka ke sana bukan untuk berdakwah, tetapi mahu melawat utara dan selatan India selama 2 minggu.

“Apabila kami tiba di lapangan terbang, seorang pegawai imigresen di kaunter menyoal tujuan lawatan kami dan kami kata kami melancong secara berkumpulan.”

“Kami kemudiannya diminta secara sopan untuk menemui seorang pegawai imigresen kanan. Beliau menyoal siasat kami selama 30 minit dan memaklumkan ‘kami terpaksa menghantar kamu semua pulang’.”

“Apabila kami tanya mengapa, pegawai itu mendakwa terdapat larangan ke atas penceramah Islam, selepas kejadian di Haryana. Katanya, arahan itu datang dari kerajaan pusat di New Delhi.”

Pegawai tersebut tidak menghiraukan kata-kata mereka walaupun telah dimaklumkan bahawa mereka bukan penceramah.

“Kami tahu hak negara untuk melarang sesetengah orang memasuki negara itu. Tetapi adakah salah untuk menjadi pelancong Islam? Kerajaan India harus jelaskan perkara ini,” tegas beliau.

Ansari berkata, seorang pegawai imigresen India memaklumkan bahawa beliau dan rakan-rakannya akan dihantar pulang ke Malaysia kerana tersilap visa.

Ekoran daripada itu, mereka terpaksa menunggu lebih 12 jam sebelum pesawat ke Kuala Lumpur berlepas pada jam 1.30 petang.

Difahamkan, mereka juga tidak dibenarkan membeli makanan dari lapangan terbang itu, tetapi boleh memesan makanan untuk dihantar dari sebuah restoran di luar lapangan terbang.

Seorang lagi ahli kumpulan itu, Mohamed bin Kassim, 58, berkata sekumpulan warga Afrika Islam yang berpakaian seperti mereka dan berjanggut juga mengalami nasib yang sama seperti mereka.

India sebelum ini pernah dipuji sebagai negara sekular yang terbaik kerana berjaya memberikan keadilan kepada semua pihak tanpa prejudis.

Comments