Home Tempatan Bermula perjalanan TN50

Bermula perjalanan TN50

SHARE

KUALA LUMPUR – Perjalanan Transformasi Nasional 2050 (TN50) bermula malam ini dengan maj­lis Dialog Perdana yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dihadiri 1,000 generasi muda, majlis di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) itu berlangsung santai bermula dengan ucapan pembukaan oleh Najib sebelum disusuli dialog bersama para peserta.

Menerusi pendekatan berpaksikan akar umbi atau bottom-up, Najib berkata, dasar jangka panjang TN50 itu akan dirangka berdasarkan aspirasi generasi muda hari ini bagaimana mereka mahu melihat Malaysia dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Dalam ucapannya itu, kata Perdana Menteri, pendekatan tersebut dipilih kerana beliau mahukan TN50 yang menjadi kesi­nambungan kepada dasar 30 tahun terdahulu adalah visi rakyat kerana masa depan negara milik generasi muda hari ini.

“Jadi malam ini kita adakan dialog tetapi saya tidak akan buat rumusan. Sebab prosesnya perlu berjalan. Bila dah himpun segala pandangan, input dan isi hati seluruh lapisan rakyat baru kita kumpulkan dan jadikan itu sebagai visi TN50.

“Maka, malam ini perjalanan TN50 telah bermula,” katanya ketika berucap pada majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan Menteri Kabinet.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula menjadi moderator majlis dialog tersebut yang melibatkan peserta gene­rasi muda daripada pelbagai pe­ringkat termasuk mahasiswa, pe­mimpin belia dan usahawan muda.

Sementara itu, dalam majlis yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan dan online itu, Najib berulang kali mengajak seluruh generasi muda memberi pandangan menerusi dia­log TN50 yang dikendalikan kerana TN50 adalah milik mereka dan usaha membentuk masa depan ini perlu keterlibatan semua.

Sambil menyentuh perjalanan panjang Malaysia untuk berada pada kedudukan hari ini, Najib berkata, sebab itu, hasrat untuk melihat Malaysia yang jauh lebih baik dalam pelbagai aspek mampu dicapai menerusi perancangan berkesan dan ia telah dibuktikan.

Mengambil contoh bagaimana pembinaan transit aliran massa (MRT), kata Perdana Menteri, enam tahun lalu ia masih di atas kertas tetapi lihatlah hari ini projek itu sudah menjadi kenyataan dengan Julai ini akan lengkap jajaran Sungai Buloh-Kajang.

“Sebab itu lah, ini semua dalam kemampuan kita, sebagai sebuah negara kita boleh melakukan semua ini kalau kita mendokong visi ini,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh peserta.

Kata Perdana Menteri, dialog TN50 yang bermula malam ini dengan segmen belia akan diper­luaskan secara berperingkat kepada segmen wanita, budayawan, ahli akademik, ulama, korporat dan usahawan.

“Semuanya kita nak himpunkan bawah satu payung yakni TN50. Dan saya nak TN50 milik kita,” kata Perdana Menteri yang turut berkongsi aspirasi untuk melihat Malaysia berada dalam ranking 20 teratas dalam beberapa indeks pada 2050.

Dalam ucapan penutup ringkas, Najib berkata, beliau cukup gembira melihat dialog sulung TN50 berlangsung dengan jaya­nya walaupun mengakui pada awalnya agak gemuruh kerana tidak tahu apa yang bakal disua­rakan para peserta.

Utusan Malaysia

Comments