Home Tempatan Beri implikasi negatif, timbul keliru

Beri implikasi negatif, timbul keliru

SHARE

SHAH ALAM – Sekiranya anak tidak sah taraf dibenarkan untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran mereka, pelbagai implikasi negatif bakal berlaku pada masa akan datang.

Menerangkan perkara tersebut, pendakwah Datuk Hassan Mahmood berkata, timbul kekeliruan pada masa akan datang berkaitan hukum Islam dalam soal perkahwinan.

“Kalau anak perempuan atau anak lelaki berbin atau berbintikan individu mendakwa dirinya sebagai bapa, suatu hari ini apabila anak perempuan ini berkahwin, siapa akan jadi walinya? Akan timbul persoalan kenapa lelaki yang dikatakan bapanya tidak dapat menjadi wali. Dalam hal ini, kita risau bukan sahaja berlaku kekeliruan, malah penipuan kelak.

“Begitu juga dengan anak lelaki, kalau yang berbinkan nama bapanya, jika bapa meninggal, dia akan diminta menjadi wali kepada adik perempuannya. Dalam hukum Islam, anak tidak sah taraf ini tidak boleh menjadi wali. Kalau perkahwinan itu  berwalikan individu tidak sah taraf, perkahwinan itu tidak sah. Dua situasi ini tidak memperlihatkan kebaikan jika nama anak luar nikah itu berbin atau berbinti nama bapa,” ujarnya, semalam.

Katanya, dari sudut nasab keturunan, anak tersebut tidak mempunyai sebarang pertalian dengan individu yang dikatakan bapanya kerana bukan hasil daripada perkahwinan sah di sisi agama.

“Dari segi hukum, anak perempuan (bukan sah taraf) boleh berkahwin dengan bapa sendiri. Kalau anak perempuan itu berbintikan bapanya, dan mereka berkahwin, apa pandangan orang ramai lebih-lebih lagi bukan Islam. Ia hanya memperlihatkan rendahnya agama Islam kerana seolah-olah membenarkan perkahwinan anak dengan bapa.

“Jangan lakukan perkara-perkara yang boleh timbulkan kekeliruan, salah sangka dan fitnah. Islam telah menetapkan garis panduan. Kenapa kita ambil mudah perkara ini dengan pelbagai alasan logik akal?,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan pihak yang menyokong tindakan menukar nama bapa dalam sijil kelahiran, Hassan berkata, ALLAH SWT telah meletakkan hukum bagi sesuatu perkara dan ia tidak boleh diubah hanya kerana dunia semata-mata.

“Benar, dalam Islam kita perlu menutup aib sesama manusia, tetapi dalam hal ini saya nak tanya mana lagi besar aib ALLAH atau aib manusia? Sudah pasti aib ALLAH itu lebih besar.

“Begitu juga dengan hukum ALLAH lebih besar daripada kita nak tutup rahsia buat sementara waktu kerana suatu hari nanti, anak ini akan tahu tentang statusnya,” katanya.

Sinar Online

Comments