Home Tempatan Berbudi, penyayang amat dituntut

Berbudi, penyayang amat dituntut

SHARE

KUALA LUMPUR – Orang yang tidak membaca al-Quran sebenarnya ada kemungkinan tidak berbudi dan penyayang sehingga mudah membawa kepada keganasan.

Penasihat Rumah Ngaji, Fazrul Ismail berkata, al-Quran tidak melatih umat Islam menjadi pengganas.

Menurutnya, sebagaimana dijelaskan melalui Surah Sad, jika seseorang itu pernah melakukan kesilapan besar, semakin banyak dia dituntut untuk berbudi dan penyayang sebagai persediaan bertemu dengan Tuhan yang sentiasa  bersifat kedua-duanya.

“Berbudi dan penyayang boleh dilaksanakan tanpa mengira sesiapa, walaupun berlainan bangsa, agama dan keturunan,” katanya.

Fazrul menyampaikan taklimat tersebut kepada warga kerja Parlimen, lanjutan tema Bangsa Berbudi dan Penyayang sempena kempen Malaysia #QuranHour tahun ini.

Ketika memberi penjelasan lanjut mengenai bangsa berbudi dan penyayang, beliau turut berkongsi kandungan surah al-Baqarah yang menceritakan tentang tokoh pemimpin yang sentiasa berbudi dan penyayang. Katanya, contohi Nabi Ibrahim.

Baginda sentiasa ingin berbudi walau kepada bapanya yang bukan Islam, dan keperibadiannya itu salah satu perkara boleh dicontohi.

“Lebih 500 ayat berkisar mengenai budi dan penyayang terkandung di dalam al-Quran. Kita harapkan kesedaran yang sudah mula dicetuskan di Parlimen ini tersebar di seluruh negara,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Malaysia #QuranHour adalah salah satu kempen yang membawa kepada penyatuan umat, dan al-Fatihah adalah salah satu surah yang menjurus kepada tujuan itu.

“Al-Fatihah dibaca setiap individu Muslim. Surah ini sebenarnya 17 kali diulang oleh seluruh 1.6 bilion Muslim di dunia, bukan sekadar Muslim di Malaysia.

“Ini adalah satu slogan yang boleh menyatukan umat Islam apabila ia dihayati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Awang Alik Jeman berkata, usaha yang diketengahkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas adalah satu usaha yang baik dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, warga Parlimen akan memberi komitmen sepenuhnya kepada pelaksanaan kempen #QuranHour pada hari berlangsungnya program tersebut.

“Ketika berlangsungnya #QuranHour, kami di sini melaksanakan program khatam dan tadarus, tapi ada sebahagian warga Parlimen yang turut serta di Putrajaya.

“Kempen ini akan diadakan secara berterusan di Parlimen, dengan harapan  warga Parlimen menanamkan sifat baik, mempunyai nilai keagamaan tinggi dalam diri masing-masing,” katanya.

Malaysia #QuranHour akan diadakan pada 24 Ramadan, bersamaan 19 Jun di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, manakala World#QuranHour dijadualkan  9 Zulhijjah, 31 Ogos 2017.

Malaysia #QuranHour adalah kempen besar-besaran bagi memperkasakan umat melalui ilmu dan amal berlandaskan al-Quran yang akan diadakan selama satu jam bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Sinar Online

Comments