Home Tempatan Bekas ADUN PKR Hina Islam, Penjelasan Raveentharan

Bekas ADUN PKR Hina Islam, Penjelasan Raveentharan

SHARE

PULAU PINANG: Kontroversi kenyataan yang dibuat bekas ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Raveentharan Subramaniam, yang menyebut “Firstly Islam was never a religion of PEACE” telah mencetuskan polemik di seluruh negara. Ramai pihak mengecam tindakannya yang seolah-olah gagal menghayati kerukunan hidup secara berharmoni di kalangan masyarakat Malaysia yang menganut pelbagai agama. Menara.my mendapatkan penjelasan lanjut dari pihak beliau sendiri untuk mendapatkan pencerahan tentang kontroversi yang berlaku.

Menurut Raveentharan Subramaniam yang juga merupakan seorang peguam, kenyataan yang dilihat berbaur penghinaan mengenai Islam di dinding Facebook miliknya itu, pada beberapa hari yang lalu, ditujukan amnya kepada Dr Zakir Naik, bukan kepada Islam secara khusus.

Katanya, beliau tidak bermaksud menghina Islam dan apa yang ditulis itu merujuk kepada kenyataan media Dr Zakir Naik bertajuk “I`m messenger of peace, my critics are terrorist” mencetus viral dan kemarahan masyarakat Islam di Malaysia, hanyalah satu salah faham.

Menurut beliau, ada beberapa fakta yang diberikan oleh DZN itu mengatakan jika kita tidak mengikut kenyataannya (DZN) maka kita adalah pengganas. “Sebab itulah puncanya, saya katakan di FB Saya, ia merujuk kepada Dr Zakir dan berlaku salah faham di sini.”

Beliau  berkata, kenyataannya itu disalah ertikan hanya disebabkan kesilapan beliau tidak meletakkan “tanda soal” sehingga membawa maksud yang berlainan dari apa yang hendak disampaikan mengenai Dr Zakir.

“Saya sudah muat naik permohonan maaf saya di dinding FB bagi membetulkan salah tanggap masyarakat Islam. Sepatutnya saya kena letak “question mark” tetapi saya tidak letak,” katanya.

Ditanya apakah ancaman yang mungkin wujud dengan kehadiran DZN, beliau berkata, Dr Zakir ini merupakan pelarian dari India dan merbahaya jika dia masih menetap di Malaysia.

“Kerajaan India juga sudah menyaman dia di Mahkamah atas kesalahan menghasut rakyat di negara berkenaan dan sekarang sepatutnya dia balik bagi menghadapi tuduhan. Tak bolehlah dia datang bersembunyi di sini. Katakanlah saya buat salah di sini kemudian saya lari pergi India, kira tak betullah tindakan itu,” katanya.

Raveentharan berkata, pihaknya tidak berpuas hati, walaupun Dr Zakir adalah pelarian dari India, namun sudah mendapat hak penduduk tetap di Malaysia walaupun masih terdapat kes yang belum selesai di India.

Ditanya adakah Islam itu menjadi punca keganasan, beliau menyatakan pendiriannya tidak bersetuju sama sekali.

“Tidaklah sampai begitu, Dr Zakir “Very Intelligent Man”, dia sepatutnya pulang ke India bagi menghadapi dan menjawab tuduhan yang dilemparkan kepada beliau”.

Persoalan adakah masyarakat Melayu beragama Islam merupakan ancaman besar buat agama Hindu di Malaysia beliau mengatakan tidak sama sekali dan menyatakan Islam itu bukan ganas dan mahupun pengganas.

“Bukan macam itu, kita hidup saling hormat menghormati, kenyataan saya itu tidak merujuk kepada Islam di Malaysia sebaliknya ditujukan kepada Dr Zakir sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman hidup di kalangan masyarakat Islam ketika menjawat jawatan sebagai Adun PKR Batu Uban dahulu cukup baik.

“Saya sendiri pernah menganjur Tilawah Al-Quran serta membuat program-program di beberapa masjid dengan kehadiran sampai dua ribu lebih,” katanya.

“Saya tarik balik kenyataan saya secara ikhlas. Saya cuma menjawab kepada Dr Zakir bukan kepada Islam secara keseluruhannya.”

“Saya tidak berniat jahat dan tidak berniat mahu jatuhkan martabat Islam, semua ini hanya satu salah faham,” katanya.

Menurutnya, ahli keluarga beliau berasal dari Alor Setar, Kedah dan sahabat-sahabat beliau merupakan pengikut Imam Syafie, tetapi sekarang sudah banyak ajaran termasuk Syiah telah berada di Malaysia dan inilah merupakan ancaman kepada negara. Beliau turut tidak menafikan ajaran Wahabi sebagai ancaman di Malaysia.

Kata beliau, perlu ada seseorang untuk membongkarkan isu ini kerana khuatir akan menjadi virus yang meruntuhkan negara.

Menurut beliau, Sallahudin Al Ayubi ketika dia menawan Baitulmuqaddis dia bukanlah menentang Kristian malah dia menaikkan martabat Kristian walaupun merupakan seorang pahlawan Islam yang hebat ketika itu.

“Bagaimanapun, saya tidak nafikan kebanyakan kaum India sahaja yang marah dan mempertikai kehadiran Dr Zakir di Malaysia, kerana merasakan DZN merendahkan martabat kaum India dan martabat undang-undang Malaysia, namun kita tidak terancam, cuma merasa tidak puas hati, itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, Islam tidak pernah dihalang di India dan saya sendiri tidak boleh pertikai Islam di Malaysia.

Katanya, kalau Tuhan mahu saya jadi Islam sudah lama saya lahir dari kandungan seorang ibu yang beragama Islam.

Menurutnya, kepelbagaian agama ini adalah untuk saling kenal mengenal bukan mempertikai antara satu agama dengan agama lain.

Ditanya adakah beliau merupakan seorang Adun Batu Uban, merujuk kepada status pengenalan diri di FB miliknya, beliau menegaskan dia cuma bekas Adun pada penggal yang lalu dan kini hanya menjawat jawatan sebagai seorang peguam Sivil dan Tribunal.

Comments