Home Tempatan Beauty and the Beast: LPF, autoriti Malaysia mesti tegas, bukan lesu ikut...

Beauty and the Beast: LPF, autoriti Malaysia mesti tegas, bukan lesu ikut telunjuk LGBT

SHARE

BANGI , 23 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Tindakan membenarkan filem Beauty and the Beast ditayangkan juga di Malaysia tanpa suntingan menampakkan badan autoriti negara ini sangat lemah.

Kecewa dengan keputusan itu, Timbalan Dekan dan Pensyarah Fisiologi USIM, Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, beliau kesal dengan pihak autoriti Malaysia yang seolah-olah seperti tidak berdaya untuk menghalang.

“Filem itu secara jelas memaparkan watak gay, adakah mereka tidak sedar atau pura-pura tidak tahu Disney membawa mesej pro-LGBT?

“Sepatutnya kerajaan, Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan badan autoriti Malaysia yang lain perlu bertegas dalam isu ini, jangan ikut telunjuk mereka yang mahu merosakkan pemikiran masyarakat negara ini, khususnya umat Islam,” katanya kepada Ismaweb.

Beliau berkata demikian respon kepada keputusan membenarkan filem Beauty and the Beast ditayangkan di pawagam ini tanpa sebarang suntingan.

Berdasarkan kemas kini status di akaun Facebook rasmi rangkaian pawagam GSC, filem itu akan mula ditayangkan di seluruh negara pada 30 Mac.

TGV Cinemas dalam Twitter mengumumkan tiket akan mula dijual bermula Khamis ini.

Mengulas lanjut Dr Rafidah berkata, apa yang penting ketika ini ialah semua pihak perlu berusaha mewujudkan kesedaran tentang bahaya LGBT agar tidak meresap masuk dalam masyarakat kita.

“Para ibu bapa perlu memainkan peranan, lindungi generasi anak-anak kita. Kalau boleh boikot semua produk Disney.

“Jangan biarkan anak-anak bergembira menikmati Beauty and the Beast, yang hanya merosakkan iman,” katanya.

Filem ini diadaptasi dari filem animasi tahun 1991, filem terbaharu ini berkisarkan kisah seorang wanita yang cantik dan gemar berdikari, Belle yang ditawan oleh si hodoh, Beast di sebuah istana.

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Emma Watson, Ewan McGregor, Gugu Mbatha-Raw, Ian McKellen dan Stanley Tucci.

Comments