Home Tempatan Beauty and the Beast: Kecelaruan sudut pandang segelintir masyarakat

Beauty and the Beast: Kecelaruan sudut pandang segelintir masyarakat

SHARE

BARU-baru ini saya menerima satu tweet yang telah dimuatnaik oleh seorang pelawak Malaysia bertaraf antarabangsa mengenai filem Beauty and the Beast. Pelawak ini seolah-olah mengecam tindakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang mengambil keputusan untuk menapis babak-babak yang dilihat kurang sesuai dengan agama, norma serta budaya masyarakat setempat.

Hakikatnya, kenyataan yang dianggap sarkastik itu saya kira tidak kena pada tempatnya. Seolah-olah, pada saya, dia lebih reda ada adegan ‘gay romanticism’ di dalam filem tersebut walhal ia sangat bertentangan dengan budaya setempat.

Beberapa hari lepas pula, seorang menteri dengan lantangnya bersuara membela Disney atas ketegasan mereka yang mahukan babak itu disiarkan. Katanya, jika babak itu dipotong, ia mampu merosakkan keseluruhan plot filem tersebut. Saya tertanya-tanya, adakah menteri ini lebih rela menjaga hati pihak Disney, dan tidak mengambil kira sensetiviti agama dan budaya negara ini?

Melihatkan isu Beauty and the Beast ini, saya terpanggil untuk menerangkan kepada masyarakat mengapa filem ini wajar disekat. Ya, benar, kisah ini merupakan kisah dongeng yang dipuja-puja oleh ramai kanak-kanak.

Namun, apabila diselitkan adegan sebegitu, saya menjadi tertanya-tanya, apakah sebenarnya motif di sebalik babak ini?

Disney dan teori Agenda Setting

Melihatkan cubaan pihak Disney yang bertungkus lumus memperjuangkan adegan 30 saat itu agar ditayangkan di Malaysia menimbulkan tanda tanya kepada saya. Pertembungan budaya yang dilihat normal dan diterima masyarakat di Barat tidak semestinya sama dan boleh diterima di tempat lain khususnya di negara-negara timur seperti Malaysia.

Melihatkan ketegasan pihak Disney yang tetap mahu babak berdurasi 30 saat itu dipertontonkan kepada umum, pastinya mereka mempunyai agenda tersendiri.

Apa yang saya lihat, pihak Disney menggunakan konsep Agenda Setting, secara konsepnya sebuah teori yang membenarkan media untuk mempengaruhi masyarakat agar agenda yang mereka bawa itu penting dan harus diambil perhatian. Apabila diaplikasikan konsep ini dalam kes Beauty and the Beast ini, mereka seolah-olah inginkan penonton yang majoritinya kanak-kanak, pulang dengan menerima agenda mereka untuk menghargai dan menghormati golongan LGBTQ.

Hal ini dibuktikan melalui temuramah bersama Bill Condon, pengarah filem Beauty and the Beast menyatakan bahawa watak gay merupakan momen yang terpenting buat Disney kerana “ The studio is sending a message that this is normal and natural—and this message will be heard in every country of the world, even countries where it’s still socially unacceptable or even illegal to be gay”. Jelas bukan? Disney menggunakan pengaruh filem sebagai instrument normalisasi homoseksualiti. Babak itu, walaupun kurang daripada seminit, cukup untuk meracuni masyarakat agar menerima dan menormalisasikan perilaku tersebut yang ternyata menyalahi norma masyarakat, budaya dan agama setempat di Malaysia.

Disney seolah-olah cuba mensasarkan kanak-kanak yang menurut Albert Bandura dalam Social Learning Theory, belajar daripada pemerhatian sekeliling, tanpa perlu ada direct reinforcement agar menerima budaya ini dan menganggap ia normal. Hal ini sekaligus merasakan bahawa perkahwinan sama jantina itu perkara biasa walhal ia sebenarnya bertentangan dengan budaya dan agama yang berada di Malaysia!

Impaknya? Bakal lahirlah generasi baharu yang telah dikikis nilai dan jati diri mereka, celaru terhadap tasawwur pemikiran mereka, dan keliru antara hak dan kebatilan yang harus mereka pegang.

Generasi ini bakal menjadi pewaris negara yang apologetik, mungkin juga reda dengan kemungkaran walau bertentangan dengan agama serta budaya setempat. Benar, 30 saat tidak mampu meng’gay’kan seseorang, tetapi mampu meracuni pemikiran!

‘Kekerasan’ yang ditonjolkan oleh pihak Disney khususnya memperlihatkan betapa mereka tidak menghormati norma dan budaya setempat. Muncul pula mereka yang katanya berminda progresif menyokong tindakan pihak Disney agar adegan itu tidak dipotong untuk tontonan awam.

Neraca dan sudut pandang mereka seolah-olahnya bercelaru, haru biru, masih mahu tunduk pada pihak yang cuba menormalisasikan sesuatu yang aneh, tetapi lupa untuk menilai dari neraca syarak, sudut pandang agama masing-masing, norma serta budaya masyarakat.

Hanya kerana sebuah cerita yang dikatakan ‘the most anticipated movie of the year’, jati diri agama dan nilai budaya kita diketepikan. Seolah-olah budaya kita telah dijajah diratah oleh Barat.

Tepuk dada dan tanya selera, adakah anda kira hanya kerana sebuah filem, anda sanggup menggadaikan agama dan budaya anda demi mengecapi kepuasan dalam hiburan?

Mungkin kini, yang disiarkan hanyalah 30 saat. Namun, sekali dah dapat, mungkin pada masa akan datang ia akan menjadi 60 saat, 10 minit, lebih panjang, agar dapat mencambah dan menambah rasa tidak sensitif masyarakat terhadap perbuatan sebegini.

LPF dan babak yang kurang enak

Masyarakat juga semakin membuka mata apabila isu Beauty and the Beast ini hangat diperkatakan media. Mereka, terutamanya pelawak antarabangsa ini seolah-olah tidak puas hati, mengapa di Malaysia dihalalkan adegan merogol berpeluk cium sedangkan Beauty and the Beast tidak boleh.

Memetik kata-kata Pensyarah UiTM, Tuan Ahmad Farami, adanya adegan rogol, peluk, cium bukanlah menjadi satu justifikasi untuk kita menerima adegan gay di dalam filem ini. Menolak satu adalah lebih baik daripada membiarkan ia berleluasa, khususnya dalam domain awam melalui penayangan di panggung wayang.

Adapun begitu, LPF pada 10 Julai 2015 telah mengeluarkan sebuah kenyataan khusus yang menegaskan bahawa segala adegan peluk cium yang jatuh di bawah kategori tidak senonoh seperti yang ditetapkan dalam garis panduan pihak mereka, akan ditapis daripada disiarkan kepada domain awam.

Maka, wajarlah jika adegan gay itu di tapis dari disiarkan kerana ternyata, ia tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat setempat.

Seruan untuk masyarakat

Melihatkan kontroversi yang melanda sebuah filem dan bagaimana masyarakat mula berjuang agar nilai asing diterima tanpa mengambil kira norma masyarakat amat mengejutkan saya yang masih di usia belia.

Segelintir masyarakat seolah-olah tidak lagi sensitif, lebih menerima budaya barat dan menganggap budaya sendiri terlalu jumud dan konservatif.

Hakikatnya, menjadi progresif atau maju tidak bermakna kita harus mencontohi dan menerima budaya Barat. Menjadi progresif pada saya apabila kita mampu memahami cultural relativism atau relatif budaya yang menerangkan bahawa apa yang dilakukan di Amerika Syarikat atau mana-mana negara barat, tidak semestinya ia betul dan dapat diterima masyarakat di Malaysia.

Masyarakat harus sedar, perluasan hegemoni budaya Barat terlalu banyak diperlihatkan melalui hiburan terutamanya filem-filem yang ditayangkan. Jika kita tidak sensitif dengan perkara-perkara sebegini walau hanya sekecil-kecil adegan, suatu hari nanti, percayalah, kita bakal dinormalisasikan dengan kebatilan.

Akhirnya budaya dan norma masyarakat sendiri yang tergadai. Hilang sudah identiti, cair sudah jati diri. Adakah itu yang anda mahukan

Ya, kita tidak mampu menghalang orang memuat turun atau menonton secara online. Namun, jika kita mampu bertegas menghalang penyiaran apa jua adegan yang bertentangan dengan budaya masyarakat setempat kepada khalayak umum, itu sudah menunjukkan salah satu usaha untuk mengingatkan pihak luar agar menghormati kita.

Lihatlah sesuatu itu daripada neraca agama, bukan nafsu semata. Benar, takkan ‘gay’ seorang manusia sebab babak 30 saat. Cukuplah babak itu untuk meracuni dan mencairkan identiti umat.

Akhir kalam, renungilah hadis ini,

Sungguh, kalian akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk masuk ke lubang dhob pun, pasti kamu akan mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, mereka itu Yahudi dan Nasara?” Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menjawab: “Lalu siapa lagi?” (HR Muslim)

Comments