Home Antarabangsa Bayi tabung uji halal dan sah – Mahkamah Pakistan

Bayi tabung uji halal dan sah – Mahkamah Pakistan

SHARE
FOTO hiasan.

ISLAMABAD: Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan memutuskan kaedah ‘bayi tabung uji’ adalah ‘halal dan sah’, keputusan melegakan pasangan yang tidak mempunyai anak kerana komplikasi perubatan.

Menurut kenyataan mahkamah, jika sperma diperoleh daripada bapa dan telur ibu disenyawakan dalam tabung uji menerusi proses perubatan, kemudian janin diletak dalam rahim ibu kandung, prosedur itu halal dan sah.

“Proses itu tidak boleh dianggap tidak sah atau melanggar al-Quran dan Sunnah,” kata mahkamah dalam keputusan setebal 22 muka surat mengenai persenyawaan luar rahim, menurut akhbar Dawn.

Mahkamah berkata, alasan ia halal dan sah adalah kerana sperma dan telur milik bapa dan ibu kandung.

Jika pasangan suami isteri bersetuju menjalani kaedah itu, persoalan mengenai kelahiran anak tidak boleh dipertikaikan.

“Bayi berkenaan ialah anak sah taraf,” kata mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah menjelaskan sebarang cara lain memiliki anak tabung uji dianggap melanggar ajaran Islam.

“Dalam kes membabitkan wanita diupah sebagai ibu tumpang demi wang atau alasan lain, prosedur itu serta kelahiran bayi tidak sah dan melanggar perintah al-Quran dan Sunnah,” menurut kenyataan bertulis itu.

Mahkamah juga mengarahkan kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar hukum Syariah itu.

Pada 2013, Majlis Ideologi Islam Pakistan berkata bayi tabung uji dibenarkan dalam Islam dengan syarat tertentu.

Berita Harian

Comments