Home Tempatan Bayar zakat kepada amil sah

Bayar zakat kepada amil sah

SHARE

ALOR SETAR – Umat Islam di Kedah dinasihatkan bayar zakat fitrah kepada amil sah yang dilantik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah Zakaria Othman berkata, amil dilantik LZNK akan mengeluarkan resit berwarna oren setiap kali pembayaran dibuat.

“Untuk pastikan tidak ada pihak ambil kesempatan cetak resit palsu, setiap tahun LZNK cetak resit dengan warna berlainan. Tahun ini, resit yang dikeluarkan warna oren,”katanya selepas pelancaran Kaunter Pandu Lalu Zakat di Menara Zakat Negeri di sini, semalam.

Perkhidmatan kaunter pandu lalu diperkenalkan buat kali pertama di Kedah, mula beroperasi sejak semalam sehingga 24 Jun ini. Waktu operasi mula dari jam 8 pagi hingga 7 petang, setiap hari.

Zakaria berkata dalam masa dua jam, kaunter pandu lalu itu mendapat sambutan yang luar biasa.

“Sebanyak 160 orang membuat bayaran fitrah membabitkan kutipan berjumlah RM1,020,”katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan umat Islam supaya mengambil berat berkenaan pembayaran zakat fitrah kerana ia berkait rapat dengan ibadat puasa dilaksanakan.

“Kita ada terima aduan ada individu yang mengambil kesempatan untuk memungut untuk pihak ketiga. Walaupun belum ada kes saya berharap ia tidak akan berlaku,”katanya.

Tahun ini, Kedah mengekalkan kadar bayaran zakat fitrah sebanyak RM7 tahun ini.

Zakaria berkata walaupun kadar ini dikekalkan, kutipan semua jenis  zakat untuk tahun ini meningkat yang diperoleh tahun lalu.

“Seluruh Kedah, 3,200 amil yang dilantik secara sah untuk tahun ini.

“Seperti zakat-zakat lain, kami menjangkakan kutipan zakat fitrah ini akan meningkat berikutan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan umat Islam di negeri ini berhubung tanggungjawab mereka berbuat demikian,” katanya.

Sinar Online

Comments