Home Tempatan Bayangkan Kalau Islam Tiada Dalam Perlembagaan Persekutuan — Timbalan Naib Canselor Akademik...

Bayangkan Kalau Islam Tiada Dalam Perlembagaan Persekutuan — Timbalan Naib Canselor Akademik & Hal Ehwal Pelajar USAS

SHARE

Kuala Kangsar, Perak: Profesor Dato’ Dr Wan Sabri bin Wan Yusof menekankan betapa pentingnya kewujudan perkataan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan memandangkan betapa buruknya kesan yang dihadapi akibat cabaran terhadap kedaulatan dan kesucian Islam sepertimana yang telah berlaku di Indonesia.

Tokoh akademik itu menukilkan pandangan sedemikian di majlis Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam (DIPKI) 2018 Edisi Perak yang berlangsung di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

7 Tuntutan Kedaulatan Islam
Timbalan Naib Canselor Akademik & Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) tersebut berasa takjub dengan penamaan Islam yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, yang disifatkannya sebagai “kebijaksanaan yang luar biasa”.

“Ini suatu kebijaksanaan yang luar biasa. Bayangkan kalau perkataan Islam itu tidak wujud dalam Perlembagaan, bayangkan apa akan jadi pada negara kita?”

Menurut beliau, meskipun dengan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak negara kita mencapai kemerdekaan, Islam masih lagi dicabar berulang-kali oleh sebahagian pihak. Oleh itu bayangkanlah betapa besarnya mudarat yang akan menimpa sekiranya tiada perkataan Islam dalam Perlembagaan.

Kesan buruk ini boleh dilihat sepertimana yang sedang berlaku di Indonesia, di mana perkataan yang melambangkan Islam tidak terdapat dalam Pancasila, yang merupakan perlembagaan negara serumpun kita itu.

“Di Indonesia, Pancasila menyebut ketuhanan Tuhan yang Maha Esa, tidak menyebut Allah. Walhal pada ketika itu, yang terlibat dalam merangka Pancasila itu terdapat para ulama termasuklah Buya Hamka.”

“Meskipun yang Maha Esa itu dimaksudkan pada Allah, namun kerana tidak dimasukkan Islam dalam perlembagaan itu lihatlah apa yang telah berlaku di sana sekarang.”

“Sekarang di sana perkahwinan campur berleluasa, lahir liberalisme yang hebat di Indonesia.”

“Pada hemat saya kerana perkataan Islam tidak disebut dalam Pancasila, hanya menyebut ketuhanan yang Maha Esa — agama Kristian, Hindu di sana juga boleh mendakwa agama mereka merujuk Tuhan yang Maha Esa kepada agama mereka, jadi telah menimbulkan kekeliruan.”

“Kerana hikmah dan “wisdom” pemimpin-pemimpin kita, oleh itu dimasukkan Islam ke dalam Perlembagaan kita.”

Comments