Home Tempatan Baru Bian: Doa Katolik Tidak Relevan, Sistem Syariah & Mahkamah Anak Negeri...

Baru Bian: Doa Katolik Tidak Relevan, Sistem Syariah & Mahkamah Anak Negeri Sah di Malaysia

SHARE

SARAWAK: “Polemik sekumpulan paderi Katolik dikatakan berkumpul dan berdoa supaya hanya satu sahaja sistem undang-undang yang wujud di negara ini adalah tidak relevan kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian.

Menurutnya,  doa Katolik ini bukanlah menidakkan Mahkamah anak negeri yang telah sekian lama wujud dalam satu sistem perundangan tetapi doa mereka itu sebenarnya adalah supaya sistem perundangan Malaysia diteguhkan dan diperkukuhkan.

“Apa yang saya faham, doa ini secara keseluruhan adalah memohon agar perundangan yang sedia ada perlu telus dan adil tidak seperti yang dilaporkan media sosial secara tidak neutral,” katanya.

Menurut beliau, “Malaysia diperintah  atas dasar perlembagaan dan undang-undang bukan atas dasar sebarangan yang direka-reka dan sudah tentu doa mereka (katolik) ini adalah untuk kesejahteraan negara”.

Baru yang juga seorang Peguam berkata, “Jelas perlembagaan di Malaysia ini adalah undang-undang yang agung disebut di Bahagian I, Negeri-negeri, Agama dan Undang-Undang Bagi Persekutuan, Perkara 4 (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu”.

“Selain sistem undang-undang sivil dan syariah, sistem Mahkamah Anak Negeri juga turut dibenarkan wujud dalam kerangka undang-undang Malaysia,”katanya.

Beliau berkata, Akta Mahkamah-Mahkamah Anak Negeri (Bidangkuasa Jenayah) 1991 (Akta 471) pula merupakan Akta yang diwartakan di Parlimen dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong bagi memberikan kuasa-kuasa menghukum kepada Mahkamah Anak Negeri di Sabah dan Sarawak.

“Jadi tindakan sekumpulan paderi Katolik, berkumpul dan berdoa supaya hanya satu sahaja sistem undang-undang yang wujud di negara ini adalah tidak relevan kerana ternyata memang terdapat beberapa sistem undang-undang yang wujud dan dibenarkan untuk berjalan di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, “Salah faham serupa inilah yang seringkali timbul dan boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan antara kaum sekiranya tidak ditangani oleh pucuk pimpinan”.

“Bagaimanapun hubungan antara kaum ini masih boleh diperbaiki lagi di semua peringkat kerana ia merupakan perkara biasa dalam sesebuah Negara yang mengamalkan demokrasi dan sedang pesat membangun,” katanya.

Baru berkata, “Sejak merdeka rakyat hidup dalam suasana harmoni dan toleransi, justeru itu menjadi tanggungjawab pemimpin yang ada untuk berani membuat keputusan dan tegas menyelesaikan apa sahaja permasalahan yang timbul terutamanya apabila melibatkan isu perkauman”.

Mengenai hal perjuangan pihaknya samada  sedang membuahkan hasil atau tidak dan kesannya, beliau berharap  suara yang diketengahkan iaitu salah laku dan ketidakadilan oleh kepimpinan terhadap rakyat ditangani dengan bijak.

“Harapan saya sebagai rakyat Malaysia dan pribumi di Sarawak ini agar setiap pemimpin yang telah mengangkat sumpah taat setia dan diberi tanggungjawab untuk memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia, tanpa mengira parti politik samada dari BN, PAS, DAP mahupun PKR dikotakan dengan adil.

Tambah Beliau, di negara-negara membangun, pergolakan dan permusuhan antara kaum menjadi perkara biasa, tetapi penting dalam negara yang mengamalkan demokrasi,  penghakimanlah yang menjadi kekuatan pembelaan dan penegak kebenaran. Maka mustahak untuk semua rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan mereka dalam menyelesaikan sesuatu isu ataupun perkara yang dibangkitkan kepada Mahkamah.

Kata beliau, “Apabila perkara yang benar mesti ditegakkan di peringkat penghakiman khususnya, tetapi malangnya di Malaysia ini ia melibatkan status dan pengaruh dalam melaksanakan hukuman walhal  penghakiman itu sepatutnya melindungi semua rakyat dan agama di Malaysia tanpa ada sikap “pilih bulu” sehingga menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi dan agenda tersembunyi.

“Isu LGBT contohnya, ada juga orang beragama Islam yang mempertahankannya tetapi tetap kalah di Mahkamah Tinggi walaupun setelah itu menang di Mahkamah Rayuan, jadi keadilan tidak dicapai sepenuhnya.”

“Penghakiman biarlah betul-betul neutral mempertahankan hak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum ataupun agama yang dianuti,” katanya.

Beliau berkata, ahli politik di Semenanjung Malaysia amnya sering membesar-besarkan isu terutamanya isu melibatkan anutan agama rakyatnya dan ini berupaya menjadi penyakit yang boleh menular kepada pemimpin dan rakyat di Sabah dan Sarawak jika tidak ditangani.

Menurutnya, di Sarawak, isu berkaitan agama itu bersifat persendirian dan tidak dicampur aduk dengan hubungan antara kaum malah di Sarawak isu perkauman (Rasis) lebih penting dan diberi perhatian serius oleh kepimpinan PKR di Sarawak bagi menjamin hubungan harmoni antara kaum.

“Kita lebih menitikberatkan penyelesaian berhubung isu perkauman dari membesar-besarkan isu berkaitan agama yang bersifat peribadi,” katanya.

“Menyentuh soal RUU 355 beliau berpendirian, tetap akan menolaknya berikutan kandungan dan kesan peruntukan dalam perundangan mengenai Jenayah dan Hudud serta berharap Sabah dan Sarawak tetap akan melobi ke semua ahli parlimen mengundi untuk menolak RUU 355,”katanya.

Comments