Home Tempatan Banyak hadis tak tepat di media sosial, kata mufti WP

Banyak hadis tak tepat di media sosial, kata mufti WP

SHARE

Umat Islam dinasihatkan supaya merujuk kepada jabatan agama dan golongan pakar agama bertauliah bagi mengesahkan kesahihan catatan berkaitan agama Islam di media sosial, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Katanya ia merupakan perkara yang membimbangkan kerana kebebasan berkongsi maklumat di media sosial telah membuka peluang bagi individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan ajaran salah.

Menurutnya catatan berkaitan agama yang tidak sahih itu juga boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Pada hari ini, kita boleh lihat banyak hadis dan dalil-dalil agama yang tidak tepat tersebar luas di media sosial.

“Ini boleh mendatangkan kekeliruan terutamanya kepada mereka yang baru dan ingin mendekatkan diri kepada agama, jadi sebelum kita kongsi sebarang maklumat kita boleh rujuk pakar agama bertauliah terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Khas: Arus media massa hanyutkan Iman? anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan ulang tahun ke-71 RTM, hari ini.

Sementara itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata penyebaran dan usaha dakwah melalui media sosial perlu diperluaskan lagi terutama bagi mendekati golongan muda yang menjadi pengguna terbesar medium itu.

Katanya melalui media sosial jabatan agama boleh mengetengahkan isu dan persoalan berkaitan agama dengan lebih cepat dan mudah.

“Walaupun media sosial dianggap sebagai gudang maklumat namun ada maklumat yang perlu ditapis dan ditentukan kesahihan terlebih dahulu.

“Di sinilah Majlis-majlis agama boleh berperanan penting dalam menapis maklumat berkaitan agama,” katanya yang juga panel pada forum tersebut.

Comments