Home Antarabangsa Bantuan kemanusiaan diserahkan hari ini

Bantuan kemanusiaan diserahkan hari ini

SHARE
Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah) bercakap pada sidang akhbar berkenaan situasi terkini di anjung kapal Nautica Aliya dalam Misi Food Flotilla for Myanmar, di Laut Andaman, semalam

LAUT ANDAMAN 9 Feb. – Setelah belayar selama enam hari, fasa pertama misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar dijangka selesai esok apabila kapal Nautical Aliya yang menjadi kapal utama misi berkenaan dijangka tiba di pelabuhan Yangon pada pukul 12.15 tengah hari (waktu Malaysia).
 Ketua misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan barangan kemanusiaan tersebut, antaranya, 300 tan beras, 50,000 paket mi segera, 12,000 botol air mineral dan 10,000 barangan kebersihan diri akan diserahkan kepada kerajaan Myanmar untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan di negara itu termasuk etnik Rohingya.

“Kapal ini terpaksa berlabuh terlebih dahulu disebabkan perairan yang cetek dan selepas air pasang kapal ini akan dipandu oleh jurumudi memasuki pelabuhan Yangon. Kapal ini akan berlabuh di perairan berhampiran pelabuhan Yangon hari ini pukul 11.30 malam (waktu Malaysia) dan akan mema­suki pelabuhan Yangon esok pukul 12.15 tengah hari (waktu Malaysia).

“Proses pemunggahan barangan dari Nautical Aliya de­ngan menggunakan kren akan mengambil masa tiga jam dan kita mempunyai masa 10 jam untuk menyelesaikan proses pe­nyerahan bantuan kepada kerajaan Myan­mar,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Misi Food Flotilla for Myan­mar, Mohd. Azmi Abd. Hamid dan Timbalan Pengarah Operasi, Datuk Mohd. Farid Hassan.
 Kapal Nautical Aliya membawa kira-kira 195 aktivis, sukarelawan ASEAN dan antarabangsa dan kira-kira 2,300 tan bekalan makanan termasuk ubat-ubatan untuk membantu masyarakat yang memerlukan termasuk etnik Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.
 Pelepasan misi tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 Februari lalu di Pelabuhan Klang.

Menurut Abdul Azeez, selepas selesai misi di Yangon, kapal Nautical Aliya akan terus bergerak meninggalkan pelabuhan menuju Bangladesh.

“Semangat para sukarelawan tetap tinggi walaupun telah lama belayar di laut dan ini merupakan petanda yang baik kepada semua yang menyertai misi ini,” katanya.

utusan online

Comments