Home Antarabangsa Bantu selamatkan penduduk Kristian

Bantu selamatkan penduduk Kristian

Lebih 100 berjaya dipindahkan oleh warga Islam Marawi

SHARE
TENTERA Filipina memantau pergerakan seorang penduduk dan keluarganya yang berpindah daripada rumah mereka di Marawi, selatan Mindanao. AFP

MANILA 30 Mei – Seorang kakitangan kerajaan yang beragama Islam berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 39 penduduk Kristian yang terperangkap dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan militan Maute di bandar Marawi.

Perkara itu disahkan oleh Naib Gabenor wilayah Lanao del Sur, Mamintal Adiong Jr.

Usaha membawa keluar penduduk berkenaan dilakukan oleh pegawai pe­nerangan kerajaan tempatan, Salma Jayne Tamano yang kebetulan seorang Islam dan ahli keluarganya.

Jumlah penduduk yang di­selamatkan itu dipercayai merupakan antara lebih 100 penduduk kristian yang berjaya di bawa keluar daripada kawasan konflik.

Menurut Naib Gabenor, ke­semua mangsa yang sudah kelaparan sejak beberapa hari hanya mampu terba­ring di rumah di kawasan Lilod Madaya dan Saduc, yang menjadi lokasi persembunyian penduduk Kristian terbabit lebih 36 jam berikutan kehadiran lelaki bersenjata di lokasi ber­kenaan.

Salma pada masa sama turut menyelamatkan dua penduduk Islam warga emas yang menyediakan tempat perlindungan kepada 39 orang penduduk Kristian ter­babit ketika pertempuran meletus di kampung berkenaan.

“Ini merupakan kisah yang bagus tentang perpaduan Islam dan Kristian yang sepatutnya dikongsi bersama masyarakat dunia,” kata Adiong.

Sejurus diselamatkan, ke­semua penduduk kampung yang diselamatkan itu diberi makan dan diberikan rawatan perubatan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, jurucakap Pasukan Bertindak dan Bantuan Kecemasan Ke­manusiaan (HEART) bagi Wi­layah Islam Autonomi Mindanao (ARMM), Myrna Jocelyn Henry mengakui penduduk bandar yang majoritinya umat Islam, telah membantu memindahkan lebih 100 penduduk ke lokasi selamat sejak empat hari lalu.

“Kerajaan ARMM berterima ka­sih kepada penduduk Islam Ma­rawi kerana membantu menyelamatkan nyawa penduduk bukan Islam. HEART turut membantu beberapa daripada penduduk Kristian itu pulang ke wilayah masing-masing,” katanya.

Henry menambah, pasukan bantuan ARMM turut memudahkan usaha menyelamat sebanyak 42 penganut Kristian oleh seorang pendakwa raya Islam wilayah ini daripada sebuah kampus selepas sekolah terbabit dibakar pengganas, Jumaat lalu.

Sementara itu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan bahawa beliau akan mengabaikan keputusan Mahkamah Agung dan Dewan Kongres selepas pemimpin itu menguatkuasakan undang-undang tentera di wilayah selatan negara ini sejak minggu lalu.

Tindakan kumpulan Maute yang merupakan rangkaian kepada militan Daesh mengepung bandar Marawi menyaksikan Duterte menguatkuasakan undang-undang tentera di wilayah Min­danao yang dihuni kira-kira 20 juta orang penduduk.

“Sehingga polis dan tentera mengesahkan Filipina kembali selamat, undang-undang tentera ini akan diteruskan. Saya juga tidak akan mendengar kata orang lain khasnya Mahkamah Agung dan Kongres, mereka tidak ada di sini,” kata Duterte, kelmarin.

Hampir 103 orang terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan militan Maute dan tentera kerajaan di bandar Marawi, selatan Filipina yang meletus sejak minggu lalu.

Pertempuran itu menyaksikan sebanyak 15 tentera, dua polis dan 61 militan terbunuh setakat ini. – AGENSI/AFP

UTUSAN ONLINE

 

Comments