Home Tempatan Bantah RUU355, Presiden MCA Bakal Hilang Kerusi

Bantah RUU355, Presiden MCA Bakal Hilang Kerusi

SHARE

Bentong: “Kebanyakan pengundi yang dia dapat adalah daripada pengundi Melayu. Kalau harapkan undi orang Cina, memang tiada harapanlah jawabnya,” demikian merupakan ulasan yang diberikan oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Abdul Hamid Bahatim daripada parti PAS sepertimana yang dilaporkan oleh portal Ismaweb baru-baru ini.

Beliau memberikan ulasan berkenaan kedudukan Presiden MCA, Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang dijangka tidak akan dapat mempertahankan kerusinya di Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Berikutan tindakan serta kenyataan yang dikeluarkan Presiden MCA tersebut berhubung isu Islam terutamanya Rang Undang-Undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) yang telah banyak mengguris hati penduduk Islam di derah Bentong.

Kata beliau lagi, “Impak dia sangat besar, bukan setakat RUU355, tetapi banyak lagi yang bersangkut-paut dengan isu Islam. Mereka (penduduk) pernah buat bantahan kepada Tiong Lai, tapi dia tak peduli.”

“Dia pernah keluar kenyataan bahawa dia akan letak jawatan sebagai Menteri jika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU355 dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.”

Beliau menegaskan, “Isu sekarang dia bukan hentam PAS, tetapi dia hentam Islam. Besar kesannya.”

Pada PRU13 yang lepas, Dato’ Sri Liow Tiong Lai hanya mendapat majoriti 379 undi di kawasan Parlimen Bentong yang dilaporkan mempunyai seramai 62,266 pengundi, satu angka yang rapuh dalam keputusan pilihan raya di peringkat Parlimen.

Comments