Home Tempatan Bank Rakyat lancar aplikasi Islamik, Barakah

Bank Rakyat lancar aplikasi Islamik, Barakah

SHARE

KUALA LUMPUR: Menyedari aplikasi Islamik dalam bahasa Melayu masih berkurangan di negara ini, Bank Rakyat mengambil inisiatif melancarkan Barakah yang boleh dimuat turun secara percuma bermula esok.

Buat masa ini, aplikasi khusus untuk umat Islam di Malaysia hanya menawarkan lima fungsi iaitu carian masjid dan surau berdekatan di seluruh negara, doa harian, panduan zikir dan umrah, arah kiblat serta zakat.

Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah, berkata penghasilan aplikasi itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank untuk rakyat di negara ini, terutama kepada umat Islam.

“Bilangan pengguna telefon pintar di Malaysia yang tinggi mencetuskan idea untuk membangunkan Barakah menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan, MySerious1.

“Kami menyasarkan 50,000 pengguna akan memuat turun aplikasi ini menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan ke Balai Berita di sini, hari ini.

Nizam berkata, aplikasi itu akan sentiasa dikemas kini bagi memastikan ia sentiasa relevan dan bersesuaian dengan keadaan semasa, selain lebih banyak fungsi diperkenalkan pada masa akan datang.

“Oktober ini, Barakah akan memasuki fasa kedua pembangunannya dengan memperkenalkan beberapa fungsi tambahan antaranya e-buku dan panduan lengkap mengenai umrah dan haji.

“Turut dibangunkan ialah carian restoran halal bagi memudahkan rakyat Malaysia yang melancong atau mengembara ke luar negara mendapatkan makanan halal,” katanya.

Berita Harian

Comments