Home Tempatan Bangsa Melayu perlu bersatu atas asas Islam

Bangsa Melayu perlu bersatu atas asas Islam

SHARE
Harussani ketika berucap sempena Muzakarah berkenaan.

IPOH – Bangsa  Melayu diharap dapat bersatu atas asas Islam dan sekali gus mengembalikan kegemilangan tamadunnya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, bangsa Melayu juga wajar mengetepikan segala perpecahan sesama sendiri dan mengembalikan perpaduan dan semangat jati diri bangsa Melayu itu sendiri.

Menurutnya, bangsa Melayu perlu terus membela khazanah tradisi Melayu dan Islam yang telah terhakis sejak sekian lama.

“Jika dahulu bahasa Melayu jadi bahasa ilmu dan tamadun, kini disisih hanya sebagai bahasa ungkapan dan dirosakkan dengan sangat biadab menjadi bahasa murahan. Dulu kita ada lebih 4 juta hektar Tanah Rizab Melayu, kini jumlahnya semakin berkurang.

“Dulu Syariah Islam tidak pernah dipersoal dan dicabar, hari ini sesiapa sahaja termasuk bukan Islam berani mencabar kedudukan undang-undang Islam dalam perundangan negara, malah hinggakan institusi-institusi Islam dicabar dan kewibawaannya dipersoal dan kedudukan Islam dalam perlembagaan dipersempit,” katanya.

Harussani berkata demikian pada ucapan alu-aluan sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Casuarina @ Meru, hari ini.

Tambahnya, bangsa Melayu yang dahulunya kaya dengan kesopanan dan kesusilaan selain sensitif kepada kerosakan akhlak telah mengalami keadaan yang sebaliknya.

Katanya, bangsa Melayu kini pula yang mengalami keruntuhan akhlak dan ketidakstabilan sosial hingga mencetuskan krisis sahsiah yang semakin parah.

Sinar Online

 

Comments