Home Antarabangsa Bangladesh benarkan flotila kemanusiaan berlabuh

Bangladesh benarkan flotila kemanusiaan berlabuh

SHARE

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Kementerian Luar mengesahkan bahawa kerajaan Bangladesh bersetuju membenarkan kapal ‘Humanitarian Mission – Food Flotilla for Myanmar’ berlabuh di Pelabuhan Teknaf.

Kebenaran itu diberi berikutan pertemuan antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Md Shahidul Islam.

“Perkara itu kini selesai hasil hubungan baik antara Malaysia dan Bangladesh,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengucapkan penghargaannya kepada kerajaan Bangladesh atas kesediaannya membenarkan flotila itu menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di sekitar pelabuhan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kerajaan Bangladesh tidak membenarkan kapal itu berlabuh di Pelabuhan Teknaf untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh. – BERNAMA

Utusan Malaysia

Comments