Home Tempatan Bakal haji 70 tahun ke atas ada lebih peluang tunai haji

Bakal haji 70 tahun ke atas ada lebih peluang tunai haji

SHARE

PASIR PUTEH: Warga tua yang berumur 70 tahun ke atas dijangka mendapat lebih banyak peluang untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi berkata perkara itu mampu dicapai jika Kerajaan Arab Saudi meluluskan permintaan Malaysia untuk menambah kuota haji sehingga 30,000 jemaah pada satu-satu musim.

“Tiap-tiap tahun terdapat antara 10 dan 15 peratus jemaah yang telah disahkan untuk melaksanakan haji, menarik diri daripada melakukan ibadah itu.

“Berikutan kekosongan yang wujud, Tabung Haji akan memberi keutamaan kepada warga emas berumur 70 tahun ke atas untuk memenuhkan kuota yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran insentif projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Padi musim utama 2016/2017 Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak kepada 233 peserta yang turut dihadiri pengarah agensi berkenaan, Nik Hamadi Nik Abdullah di sini, hari ini.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dipetik berkata Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, memberi respons positif terhadap permintaan Malaysia untuk menambah kuota haji sehingga 30,000 jemaah. Perdana Menteri berkata dalam perbincangan dua hala antara kedua-dua negara itu, Raja Salman memaklumkan bahawa kerajaannya perlu memberi pertimbangan lebih mendalam.

Sementara itu, Nik Hamadi ketika berucap pada majlis itu berkata sehingga kini Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan lebih RM7 juta untuk meningkatkan taraf hidup 535 petani di Bachok dan Pasir Puteh dalam tempoh 2012 sehingga 2016.

Beliau berkata peruntukan itu diluluskan di bawah projek NKEA yang membabitkan kawasan seluas 781 hektar. Katanya pada tahun ini Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM612,300 untuk faedah 233 petani yang mengusahakan bendang seluas 306.3 hektar di Bendang Tok Khamis, Bukit Yong, Kemudu Bongkok, Kemudu Bongkok Tambahan dan Gong Nangka. – BERNAMA

Berita Harian

Comments