Home Surat Bajet Agensi Agama Perlis, Dialog Bertukar Dakyah Halus Kristian ?

Bajet Agensi Agama Perlis, Dialog Bertukar Dakyah Halus Kristian ?

SHARE

Menggunakan Terjemahan Bible dengan penggunaan kalimah Allah yang terpampang dan disebut jelas, Pastor Sivin Kit yang diterbangkan khas oleh pihak Mufti Perlis ke Perlis, semalam terlibat dengan program Dialog Antara Agama anjuran Majlis Agama Islam Perlis, Jabatan Agama Islam Perlis dan Pejabat Mufti Perlis.

Umum dan Dr MAZA sebagai panel mungkin tidak menyedari bahawa semenjak awal Pastor Sivin Kit telah memberitahu, bahawa beliau memilih kaedah Scriptural Reasoning yang membenarkan para penganut agama membentangkan teks-teks agama masing-masing tanpa perlu berkompromi dengan sebarang nilai-nilai yang dipegang. Tidak sepertimana yang diharapkan, mengikut kaedah ayat 64 surah Ali Imran yang mengajak semua kepada bersetuju dengan satu titik persamaan. Dalam al Quran, dialog di dalam kaedah ini membawa kepada perakuan bahawa semua menyembah Allah sebagai Tuhan yang sama.

Tetapi fokus titik persamaan yang membuka ruang medan dialog semalam ialah, bagi kedua-dua agama yang bertemu semalam, kedua-dua pihak akan membentangkan ayat-ayat yang menganjurkan keharmonian dari kitab-kitab suci masing-masing.

Bukan hanya mesej-mesej keamanan di dalam Bible yang diterangkan Pastor Sivin Kit, tetapi akidah paling utama mereka turut didakyahkan secara terang (meskipun dewan dengan lampu digelapkan), dengan tiada sebarang perasaan bersalah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Trinity Kristian, beliau membuat kenyataan berikut :

“Teks kedua dia memberi kita petunjuk, aa, ajaran ini, ‘Manusia adalah.. telah menerima arahan yang jelas bagaimana untuk perhubungan, relationships, dengan sesamo [sic] manusia, how do we relate to one another. To God, dengan Tuhan dan manusia. Dalam konteks hubungan kita dengan tuhan, dengan inisiatif Tuhan yang mewahyukan diriNya kepada kita dan membebaskan kita daripada cengkaman hamba.. perhambaaan, ke atas dosa. Ringkasnya sekarang kita mempunyai perjanjian, Covenant, dengan Tuhan.”

Sivin Kit menghabiskan minit terakhir dalam 15 minit pusingan pertama penerangannya cuba memastikan bahawa akidah dan ajaran paling utama umat Kristian, mesti disampaikan kepada semua pengunjung dengan keterangan berikut :

“Saya nak pergi cepat sikit.. kerana saya mesti datang yang paling utama untuk orang Kristian, untuk orang Islam.. orang Islam meng.. mengenali dia sebagai nabi Isa.. saya guna istilah orang Kristian Yesus Kristus, Jesus Christ, dalam bahasa Melayu, Yesus : Telah jelas meringkaskan semua yang saya jelaskan tadi dalam perintah yang terutama, dalam Inggeris ’The Greatest Commandments’, dalam bahasa, ‘Perintah yang paling utama’. Apakah perintah itu? Inilah.. di ayat 30 di sini (sambil menunjukkan kepada slide).. kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu. Dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dengan seluruh kekuatanmu. Yang kedua, perintah yang kedua adalah kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini. Saya rasa, kawan-kawan, kita tidak boleh mengatakan diri kita benar-benar mengasihi Tuhan dan kemudian mengabaikan kesejahteraan mereka yang tinggal dalam kalangan kita seperti yang Dato’ katakan tadi. Ini bukan hanya untuk Kristian saja, untuk Muslim saja, untuk orang Hindu saja, Sabah Sarawak saja atau peninsular sema..semenanjung.. kalau kita semua di sini, orang yang beriman, kami, kita semua mesti tak boleh mengabaikan kesejahteraan mereka yang tinggal dikalangan kami..”

Pastor Sivin Kit gagal berlaku jujur ketika membentangkan hukum paling utama di dalam Bible, beliau mengambil jalan memetik ayat 30 dari Markus fasal 12. Tetapi dalam masa yang sama, memilih untuk tidak menyebut petikan ayat sebenarnya yang menjadi rukun utama sebagaimana yang dinyatakan di dalam Bible.

Markus Fasal 12 ayat 29 :
Yesus menjawab, “Perintah yang pertama, ialah: ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan kita, Tuhan itu esa.

Markus fasal 12 ayat 29 ini mempunyai akar kepada seruan Tuhan di dalam Bible semasa di dalam Perjanjian Lama. Ia dimuatkan di dalam kitab Deuteronomy fasal 6 ayat 4

שְׁמַע, יִשְׂרָאֵל:  יְהוָה אֱלֹהֵינוּ, יְהוָה אֶחָד
(Shema Yisrael, YHWH Eloheinu YHWH Ehad)
Dengar Wahai Israel, YHWH Tuhan kamu YHWH Yang Esa.

Sesi dialog ini , di atas kertas, seharusnya membawa kepada perbincangan tentang teks dan konteks ayat-ayat keharmonian. Tetapi menyaksikan apa yang berlaku semalam, ia sebenarnya membuka lebih luas ruang bagi gerakan dakyah kristian secara halus, mempergunakan kumpulan yang kelaparan dialog, meluaskan aktiviti mereka ke negeri blue ocean mereka yang baru, Negeri Perlis Darul Sunnah.

Lebih menarik, dakyah halus disampaikan oleh tetamu jemputan di atas bajet Pejabat Mufti Perlis sendiri. Ini satu bentuk kemenangan bergaya.

Malang sekali apabila terdapat ramai, anak-anak muda yang kelihatan didatangkan dengan bas Universiti Malaysia Perlis (Unimaps) dan dipercayai pelajar-pelajar yang majoritinya Melayu Islam dari Universiti Malaysia Perlis dibawa hadir ke situ.

Ketika Dr MAZA sibuk mengkritik sistem tahfiz, anak-anak muda di Perlis menjadi mangsa dakyah halus di atas tiket dialog dengan bajet yang dikeluarkan oleh pejabatnya sendiri.

 

Artikel di atas adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mewakili pandangan Menara.my.

Comments