Home Tempatan Bahasa Melayu wajib didaulatkan – DBP

Bahasa Melayu wajib didaulatkan – DBP

SHARE

KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan wajib didaulatkan dalam semua bidang ilmu dan amalan profesional di negara ini terutama dalam konteks perlantikan penjawat awam.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, berkata beliau membantah keras langkah Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat lulus bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak pegawai perubatan UD41.

“Syarat lulus bahasa Melayu perlu meliputi semua peringkat perjawatan tanpa mengira sama ada kontrak, sementara atau tetap.

“Apatah lagi jika perubatan bidang kritikal yang banyak membabitkan komunikasi lisan dengan pesakit, manakala salah faham bahasa boleh membawa maut kepada pesakit terutama di luar bandar,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kelonggaran itu adalah bagi memberi keadilan kepada graduan perubatan lantikan kontrak yang tidak menduduki peperiksaan bahasa Melayu semasa SPM.

Dr Noor Hisham berkata, kelonggaran itu bukan perkara baharu kerana lantikan kontrak bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan bukan warga negara juga tidak memerlukan kelulusan bahasa Melayu SPM.

Katanya, tindakan itu juga selari dengan persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran syarat kelayakan lulus bahasa Melayu peringkat SPM bagi lantikan kontrak ke jawatan pegawai perubatan Gred UD41.

Md Salleh bagaimanapun menyifatkan langkah Kementerian Kesihatan itu sebagai tindakan secara sengaja untuk menyingkirkan bahasa Melayu dari kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin haknya oleh Artikel 152 Perlembagaan.

“Jika tindakan Kementerian Kesihatan ini dibiarkan, ia akan segera disusuli oleh pelbagai pihak lain yang akhirnya menyaksikan tersungkurnya bahasa Melayu.

“Dalam sejarah dunia tidak ada bangsa yang bermaruah yang dengan mudah saja membiarkan bahasa kebangsaan sendiri diperkotak-katikkan,” katanya.

Berita Harian

Comments