Home Tempatan Bahasa Melayu masih dipinggirkan akibat dasar diglosia: Prof Dr Md Salleh Yaapar

Bahasa Melayu masih dipinggirkan akibat dasar diglosia: Prof Dr Md Salleh Yaapar

SHARE

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih tidak didaulatkan dengan sewajarnya biarpun negara ini mencapai 60 tahun kemerdekaan.

Profesor Kesusasteraan Bandingan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar berkata, peminggiran itu adalah akibat pelaksanaan dasar diglosia (dua bahasa) ke atas Sekolah Aliran Kebangsaan pada tahun 2003.

“Melalui dasar tanpa akta ini, bahasa kebangsaan yang sudah dipupuk hampir separuh abad, dengan sekelip mata dirampas haknya dan dinyahkan sebagai bahasa penyampai ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja resolusi ‘Kewajipan Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan’ di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Hasil pembentangan kertas kerja resolusi berkenaan pada Bengkel Prakongres Sektor Bahasa Bersempena dengan Sektor Budaya 2017 ini akan dibawa ke Kongres Budaya 2017 dan disampaikan terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April nanti.

“Akibatnya (dasar diglosia itu), kini di sekolah dan universiti awam telah wujud bukan sahaja situasi diglossia tetapi juga fenomena apartheid bahasa.

“Iaitu keadaan yang dalamnya bahasa Inggeris yang asing dipandang mulia dan dijunjung tinggi, sedangkan bahasa Melayu dihina dan diberi kedudukan yang rendah di buminya sendiri,” katanya.

Bengkel ini turut menampilkan sasterawan Dr Lim Swee Tin , Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berkata adalah amat penting bagi kerajaan untuk memberi kepentingan yang jitu dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Justeru, Md Salleh menggesa satu rancangan tindakan pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia hendaklah diusahakan segera.  – Bernama

Comments