Home Pendapat Bahasa Kebangsaan, Milik Semua

Bahasa Kebangsaan, Milik Semua

SHARE

“Bahasa Kebangsaan, Bahasa Perpaduan”. Dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan yang perlu dihayati oleh semua warganegara tanpa mengira kaum dan keturunan.

Namun, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih belum diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Setelah lebih 50 tahun merdeka, masih terdapat sekumpulan warganegara yang tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan seolah-olah mereka bukan warganegara. Dalam pada itu ada juga sesetengah kumpulan yang mempunyai kesedaran yang rendah tentang peri-pentingnya bahasa kebangsaan. Adalah malang bagi sesebuah negara apabila rakyatnya sendiri gagal menjunjung dan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan.

Kita sedia maklum bahawa sejak Merdeka lagi kita adalah sebuah negara yang mempunyai berbilang bangsa dan keturunan. Atas dasar inilah sebuah bahasa kebangsaan diperlukan bukan sahaja sebagai bahasa pengantara tetapi juga sebagai bahasa perpaduan yang bukan saja mampu menyatupadukan masyarakat tetapi juga berjaya memupuk semangat cintakan negara.

Usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak hanya disokong oleh orang Melayu, malah sebahagian kumpulan MCA (Malaysia Chinese Association) ketika itu juga menyokong pendaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Namun, terdapat juga tentangan dari beberapa pihak yang seolah-olah mahu Bahasa Mandarin dijadikan bahasa rasmi negara1.

Memetik kata-kata Tun Tan Siew Sin yang merupakan pemimpin orang Cina semasa kemerdekaan, beliau telah berkata “Chinese urged to accept national language…” Beliau mengucapkan kata-kata ini pada 27 Februari 1966 dan ia telah membuktikan bahawa sememangnya semua kaum bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan agar perpaduan dapat dicapai2. Isu tidak tahu bertutur dalam bahasa kebangsaan dan sikap ‘acuh tak acuh’ terhadap bahasa kebangsaan negara sendiri tidak sepatutnya wujud dalam kalangan warganegara Malaysia.

Hakikatnya, bahasa kebangsaan adalah milik semua kaum dan tidak hanya tertakluk kepada orang Melayu sahaja. Walaupun rakyat terdiri dari pelbagai bangsa dan kaum, kita mampu mencapai persefahaman dan memupuk semangat patriotik yang mendalam melalui bahasa yang kita pertuturkan. Itulah identiti asas negara kita.

Konklusinya, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang yang menjadi warganegara Malaysia untuk memartabatkab bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Tiada ertinya status ‘kewarganegaraan’ itu sekiranya bahasa yang menunjukkan bangsa, tidak diangkat dan dipelihara sewajarnya. Itulah salah satu ‘marker’ penting yang membezakan antara kita, rakyat Malaysia dan pelawat-pelawat luar yang berada di negara kita.

Rujukan

[1] Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam. Pendaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu di Malaysia: Sejarah dan Kedudukan Masa Kini. Tahun 2014

[2] Chronicle of Malaysia: Fifty Years of Headline News, 1963-2013

Comments