Home Tempatan Badan Peguam tiada hak pertikai lantikan hakim, kata persatuan

Badan Peguam tiada hak pertikai lantikan hakim, kata persatuan

SHARE

KUALA LUMPUR, 19 Ogos ― Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) sebulat suara meluluskan usul menolak campur tangan dan pertikaian mana-mana pihak termasuk Badan Peguam Malaysia dalam urusan pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Tertinggi oleh Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa dan budi bicara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Eksekutif JALSOA perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan semalam.

Persatuan itu berpendapat mana-mana pihak termasuk Badan Peguam Malaysia tidak mempunyai hak untuk membuat usul ‘mendesak Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif untuk menolak pelantikan serta Resolusi Tidak Percaya Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan’ seperti yang diluluskan EGM Badan Peguam itu pada 3 Ogos lepas.

Kenyataan itu berkata Badan Peguam juga tidak seharusnya membuat desakan dan pertikaian sedemikian rupa terhadap Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

“JALSOA berpandangan bahawa semua pihak hendaklah menghormati kedudukan institusi Kehakiman dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai institusi yang bebas serta peranan institusi Kehakiman dalam menjunjung keluhuran Perlembagaan, menegakkan keadilan, mendaulatkan undang-undang dan melindungi kepentingan negara,” kata kenyataan itu.

The Malay Mail Online

Comments