Home Tempatan Badan dunia digesa campur tangan henti kekejaman etnik Rohingya

Badan dunia digesa campur tangan henti kekejaman etnik Rohingya

SHARE

ALOR SETAR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa badan dunia memberikan tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi menghentikan pembunuhan terhadap etnik Rohingya Islam di negara itu.

Naib Presidennya Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata sudah tiba masanya ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak untuk melindungi keselamatan penduduk yang kini diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ akibat penindasan berterusan.

Katanya berdasarkan laporan yang diterima penduduk di Wilayah Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung dianggarkan lebih 500 penduduk termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua dibunuh, manakala rumah serta binatang ternakan mereka dibakar dan dihalau.

“Dalam masa dua hari ini, puluhan rumah di lebih 25 kampung telah dibakar, manakala puluhan ribu penduduk telah melarikan diri di perbatasan Myanmar dan Bangladesh untuk mencari perlindungan tanpa makanan. Anda boleh bayangkan mereka dalam keadaan lapar dan kanak-kanak ramai dijangkiti penyakit berjangkit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah Yusof Ali dan Ketua Kempen Anti Penyeludupan Pulau Pinang Zahid Alam.

Ahmad Tarmizi berkata sekiranya badan dunia terus berdiam diri dalam tempoh 24 jam, besar kemungkinan etnik Rohingya di bumi Arakan akan lenyap dari dunia ini kerana jenayah kezaliman yang dilakukan tentera Myanmar dan militan Rakhine sedang berlaku.

“Tidak ada jalan lain selain kita mendesak negara anggota ASEAN memberi respons segera sama ada bertindak untuk menghentikan kekejaman atau membiarkan saja mereka dibunuh, jika itu berlaku, kita boleh menganggap ASEAN tidak berfungsi lagi untuk melindungi rakyat negara anggotanya,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments