Home Tempatan ‘Baca al-Quran lebih baik berbanding hias kubur’

‘Baca al-Quran lebih baik berbanding hias kubur’

SHARE
Laporan Sinar Harian Edisi Perak, semalam.

IPOH – Tindakan menanam rumput karpet di atas pusara bukan kesalahan daripada sudut agama.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, perbuatan itu boleh dikategorikan sebagai satu pendekatan berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.

Bagaimanapun katanya, Islam mengajar cara berbakti melalui pendekatan lebih baik iaitu menjadi anak yang soleh dengan membaca al-Quran dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan ibu bapa masing-masing.

“Tindakan itu tidak menjadi apa-apa kesalahan. Malah, berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah amalan mulia. Cara paling tepat berbakti kepada mereka adalah dengan membaca al-Quran dan selalu berdoa. Itu lebih baik dan utama daripada menghias kubur mereka,” katanya.

Beliau mengulas tindakan dua pemuda menanam rumput karpet di kubur arwah bapa mereka yang meninggal dunia pada tahun 2010.

Sinar Harian semalam menyiarkan kenyataan Mohd Faizul Ezmin Saidin, 32, bahawa tindakannya itu adalah hasil idea selepas melihat tanah perkuburan di Australia yang kelihatan seperti taman rekreasi ketika bekerja di sana pada 2015.

Ia juga berdasarkan pengalamannya bersama keluarga sebelum ini yang tersilap kubur ketika menziarahi pusara ayahnya yang tidak dijaga dengan begitu baik.

Sinar Online

Comments