Home Tempatan Azrul Khalib : Penyokong Perkasa Syariah A355 Tiada Ciri Intelektual Islam

Azrul Khalib : Penyokong Perkasa Syariah A355 Tiada Ciri Intelektual Islam

SHARE

Kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki, yang mahu pihak yang tiada merit dan kelayakan untuk bercakap tentang usaha memperkasa syariah A355  supaya diam, mengundang respons Azrul Mohd Khalib aktivis BEBAS.

Menurut Azrul, respon yang diberikan oleh  Dr. Zuhdi adalah sifat tipikal golongan agamawan yang tidak mahu menerima hujah lain selain daripada hujah mereka.

Katanya, Dr Zuhdi seolah-olah menidakkan pendapat dan hujah pihaknya yang dianggap tidak mempunyai kelayakan tertentu atau pendapat bukan Muslim yang sepatutnya tidak bersuara di dalam isu Pindaan ke atas Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) ini.

Beliau mendakwa, hakikatnya, sehingga kini isu pokok yang dibangkitkan masih tidak ditangani dan dijawab sepenuhnya oleh pihak Dr Zuhdi.

Menurutnya, sehingga kini Hadi Awang masih tidak memberikan sebarang rasional atau justifikasi untuk menyokong saranan beliau untuk meningkatkan hukuman syariah dari had semasa iaitu tiga tahun penjara, denda sebanyak RM 5,000 dan enam kali sebatan rotan, kepada hukuman penjara maksima sehingga 30 tahun, denda RM 100,000 dan 100 kali sebatan.

Sambung Azrul lagi, pihaknya  tidak memerlukan penjelasan kompleks atau pendebatan teologi tetapi mahukan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan. 

Azrul, yang juga aktivis kumpulan Seksualiti Merdeka yang memperjuangkan hak golongan LGBT, turut mempersoalkan adakah jenayah syariah meningkat secara mendadak atau sudah tidak terkawal sehingga memerlukan peningkatan hukuman yang begitu drastik untuk dilaksanakan.

Beliau sekali lagi mempersoalkan apakah justifikasi atau rasional usul ini dibentangkan, dan adakah benar meningkatkan hukuman dapat membanteras salah laku syariah dan jika ada mana buktinya?

Katanya, Hadi Awang dan golongan penyokong usul ini hanya mampu membisu dan membalas dengan tomahan yang bertujuan untuk menghentikan perbincangan.

“ Adakah ini ciri-ciri intelektual Islam, sudah pasti jawapannya tidak sama sekali,” katanya.

Comments