Home Tempatan Azrul Khalib : Orang Islam Tidak Bersetuju RUU 355

Azrul Khalib : Orang Islam Tidak Bersetuju RUU 355

SHARE

Isu berhubung perlaksanaan RUU 355 kembali hangat diperdebatkan apabila PAS menyatakan mahu mengadakan himpunan raksasa pada 18hb Februari, di Dataran Merdeka.

Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantah keras. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekurangan akses kepada maklumat yang lebih mendalam tentang perkara ini dan ditambah pula dengan salah maklumat yang ditularkan di media sosial.

Kekeliruan ini jelas ketika temubual yang dijalankan kepada pengasas pertubuhan BEBAS iaitu Azrul Mohd Khalib yang merasakan usul Hadi merupakan pindaan rang undang-undang yang membuka pintu kepada bertapaknya hudud di negara ini.

Ditanya mengenai pendirian BEBAS yang menentang keras perlaksanaan RUU 355 beliau berkata, bukan sahaja pihaknya tidak setuju bahkan beliau percaya seluruh rakyat Malaysia dan orang Islam  sendiri pasti tidak bersetuju disebabkan tiada rasional untuk dilaksanakan RUU 355 tersebut.

Azrul berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, perlu lebih rasional kerana hal ini melibatkan undang-undang Negara dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Menurutnya, walaupun perlaksanaan ini dapat mencegah jenayah dari  terus berleluasa tetapi Hadi dilihat lebih kepada retorik dalam agenda politik beliau dan merasakan  perlaksanaan RUU 355 tiada sebarang penyelidikan terperinci dibuat.

“Hadi tidak memberikan sebarang rasional atau justifikasi menyokong saranan beliau untuk meningkatkan hukuman syariah dari had semasa iaitu tiga tahun penjara, denda sebanyak RM 5,000 dan enam kali sebatan rotan kepada hukuman penjara maksima sehingga 30 tahun, denda RM 100,000 dan 100 kali sebatan. Beliau berkata, perlaksanaan ini lebih kepada berat sebelah, ianya seolah- olah  “memangsakan”  perlaku yang hanya melakukan jenayah salah laku peribadi dan ini adalah keterlaluan dengan tambahan hukuman yang sangat berat dan tidak setimpal.

Katanya, keadaan ini seolah-olah memburukkan nama dan imej Islam itu sendiri. Menurut Azrul, Hadi juga tidak mengambilkira kesan ekonomi terhadap negara akibat undang-undang seperti ini.

Di negara-negara yang seringkali dirujuk oleh PAS sebagai contoh terbaik perlaksanaan hukum hudud, selalunya wujud bilangan penganggur yang banyak, populasi kemiskinan tegar yang tinggi, kanak-kanak perempuan yang tidak diberikan pendidikan, penindasan, konflik bersenjata serta sikap tidak endah kepada hak asasi manusia. Negara-negara ini dianggap ‘negara gagal’ dan tidak berdemokrasi.

Beliau tidak menafikan ketika ditanya mengenai kebaikan  perlaksanaan RUU 355 ini  yang dilihat cukup bagus untuk langkah pencegahan jenayah secara drastik tetapi menurut Azrul di dalam Islam tindakan itu adalah keterlaluan dan tidak adil sama sekali. “Kita perlu mendengar dan meneliti bantahan dan cadangan pelbagai pihak dengan mengambil kira hal berkaitan dari berbagai sudut.

“Ini dapat dilaksanakan di dalam pembentangan dan prosedur agar pihak teraniaya dan yang menganiaya mendapat keadilan masing-masing sebelum Rang Undang-Undang itu dapat dilaksanakan sepenuhnya. “Sudah tentu Undang-undang tidak boleh digubal sesuka hati”,katanya. “Seperti mana-mana undang, usul Hadi ini dan pendapat beliau mestilah terbuka kepada penelitian dan pendebatan dari semua pihak, termasuklah golongan Muslim dan bukan Muslim. Sebagai rakyat Malaysia, kita dijamin mempunyai kedudukan dan taraf yang sama dari segi undang-undang”.

“Dana yang digunakan untuk mengurus dan menguatkuasakan sistem perundangan syariah di Malaysia, berasal daripada pembayar cukai Muslim dan bukan Muslim”. Setiap rakyat, tidak kira kaum atau agama, berhak bersuara dan menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu dan undang-undang yang mampu untuk menganggu gugat secara drastik struktur sekular negara dan mengubah cara hidup kita. Usul Hadi adalah salah satu daripadanya.

Bagaimanapun, BEBAS  tetap tidak akan bersetuju disebabkan langsung tidak merasakan kes ini perlu dibentangkan. Kata beliau, adakah dengan meningkatnya hukuman dalam melaksanakan RUU 355 ini  jenayah yang berkaitan akan dapat dikurangkan sepenuhnya?

Comments