Home Tempatan Azran Chan: Terdapat Usaha Menjatuhkan Dr Zakir Naik

Azran Chan: Terdapat Usaha Menjatuhkan Dr Zakir Naik

SHARE

PULAU PINANG: “Adilkah hanya kerana satu like dari seorang pengganas di halaman sosial (Facebook) milik pendakwah terkemuka Dr Zakir Naik, beliau dilabel sebagai terroris kemudian didakwa pula melarikan diri dari India”, kata anak muridnya Azran Chan Abdullah.

Bagaimanapun, menurutnya, ahli kumpulan terroris ini hanya merupakan salah seorang peminat Dr Zakir daripada 6 juta orang yang menjadi pengikut media sosial milik Dr. Zakir Naik.

Beliau berkata, “Sebaliknya, lelaki (pengganas) ini bukan sahaja like halaman milik Dr Zakir tetapi turut berbuat perkara yang sama di halaman artis Bollywood yang terkenal iaitu Salman Khan dan Shah Rukh Khan tetapi tidak pula dua aktor ini dikaitkan dengan terrorisme”.

“Bayangkan, cuma satu like, Dr Zakir tidak dibenarkan pulang ke India tahun lepas walaupun ketika arwah bapanya meninggal dunia hanya disebabkan hal ini”, katanya.

Menurutnya, setelah mendapat khabar ayahnya meninggal dunia ketika itu, Dr Zakir Naik bergegas untuk pulang ke India bagi menziarahi arwah ayahnya tetapi beliau ditahan ketika sampai di Lapangan Terbang Mumbai dan terpaksa berpatah balik.

Beliau berkata, pada waktu itu, kerajaan India langsung tidak memberi peluang untuk Dr Zakir Naik menjawab tuduhan yang mengatakan dia seorang pengganas.

“Lebih jelas, ini adalah agenda untuk menjatuhkan Dr Zakir Naik apabila pemimpin Hindraf menyebar fitnah dan membesar-besarkan cerita dengan menuduh Dr Zakir Naik  sebagai pengganas yang melarikan diri dari India”, katanya.

Menurut beliau, berhubung kes money laundering, perkara ini sebenarnya tidak wujud. Sehingga kini, Dr Zakir Naik sendiri sentiasa mengelak dari ditaja oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, Siti Kasim yang mendakwa Dr Zakir Naik  mendapat bantuan dana di Malaysia adalah satu fitnah.

“Siti Kasim antara parasit yang mencari peluang untuk “tumpang glamer” disebalik nama besar Dr Zakir Naik, samalah dengan Asiah Jalil”.

Mengenai persoalan adakah Dr Zakir Naik akan membuka akademi di Malaysia seakan-akan IRF di Mumbai untuk menyambung perjuangan beliau, Azran berkata, “Kita pakat-pakat doa supaya Allah memberi kemudahan kepada Dr Zakir Naik untuk meneruskan misi dakwah beliau di sini dan membuka sebuah pusat akademi walaupun dakwahnya secara aman dan dikecam oleh pihak tertentu”.

“Saya berdoa kepada Allah SWT dan berharap Dr Zakir Naik  akan membina bangunannya sendiri di Malaysia bagi meneruskan usaha dakwahnya di sini, disebabkan negara kita sudah agak teruk diserang dengan pelbagai anasir negatif melalui pelbagai pertubuhan yang merancang untuk memusnahkan Islam di sini,” katanya.

Menurut Azran lagi, Dr Zakir Naik sendiri pernah ditawarkan dana untuk membina bangunan 20 tingkat di Mumbai India dan beliau juga sudah mempunyai lebih 500 kakitangan merangkumi pelbagai negara termasuk dari China dan Korea di sana tetapi kini mereka sudah hilang pekerjaan.

Kata beliau, di sana Dr Zakir Naik tidak ada satu unit bangunan pun. Dia cuma menyewa satu lot kedai berhampiran pekan. “Semua tawaran yang diterima dari seluruh dunia kini ditangguhkan dahulu kerana tidak mahu ada pihak berkecil hati,” katanya.

Azran berkata, “Kita sangat berharap dana itu akan dibawa ke Malaysia untuk membina bangunannya di sini”.

“Sebenarnya, banyak negara yang berebut untuk panggil dan menawarkan kepada beliau dan kita harap Dr Zakir Naik memilih Malaysia sebagai negara yang akan dijadikan pusat dakwahnya kelak, Insyallah,” katanya.

Azran berkata, Dr Zakir Naik sehingga kini tidak menetap di satu-satu negara, kerana setiap negara tidak putus-putus menjemput beliau untuk berceramah di negara mereka. Jika sebulan dia tinggal di Malaysia kemudian akan ke Riyadh dan tinggal di Riyadh pula untuk waktu tertentu dan pelbagai lagi negara yang menjemput dan sentiasa menunggu kehadirannya.

Menurutnya, sebagai anak murid Dr Zakir Naik,mereka berusaha menjawab segala tohmahan dari pihak yang menentang beliau.

“Ada kita jawab di beberapa akhbar dan media massa termasuk di Indian Mystar. Contohnya, isu Hindraf Makkal Sakthi yang rancak menentang hak bersuara dan pelbagai isu lagi termasuk di laman sosial”.

Kata beliau, kesemua sembilan anak murid beliau tidak ada masalah untuk membuat sebarang sesi debat secara ilmiah bersama penentang Dr Zakir Naik di Malaysia.

“Kita akan turun jika mereka mencabar, kita bersedia pada bila-bila masa saja, insyallah,” katanya.

Menurut Azran, beliau sendiri pernah mencadangkan kepada semua anak murid Dr Zakir Naik untuk menubuhkan IRF Malaysia tetapi setakat ini masing-masing ada peranan dan tanggungjawap kepada NGO masing-masing untuk menjalankan misi dakwah dan kemungkinan besar satu hari nanti mereka akan membuka IRF di Malaysia dan akan lebih mudah jika Dr Zakir dengan rela hati mahu menetap terus di sini.

Comments