Home Kolumnis Awas! Anak-Anak Kita Sedang Diprogramkan Dengan Naratif Berontak

Awas! Anak-Anak Kita Sedang Diprogramkan Dengan Naratif Berontak

SHARE

Satu perkara yang terlintas apabila animasi kanak-kanak disebut; riang dan bahagia. Animasi kanak-kanak sebenarnya tidak dikhaskan untuk anak-anak kecil sahaja. Genre ini sesuai untuk semua peringkat umur penonton tak kira tua atau muda.

Tidak kira apa-apa tajuk sekalipun, animasi sememangnya menghiburkan, namun, awas dengan maksud tersirat dan tersurat yang terkandung dalam sesebuah animasi! Bukan semua animasi itu bagus dan tidak berbahaya kepada minda dan pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi animasi pada zaman serba moden dan penuh fitnah ini.

Jika dilihat dan difikir dengan teliti, kebanyakan animasi memaparkan unsur memberontak dan melawan arahan sama ada arahan ketua ataupun keluarga. Seperti contoh, Puteri Merida dalam cerita Brave. Merida merupakan anak sulung kepada Raja Fergus dan Permaisuri Elinor yang merupakan pemerintah bagi 4 puak; puak Dun Broch, puak Macintosh, puak Dingwall dan puak MacGuffin. Sebagai seorang puteri, Merida diajar cara-cara bagaimana menjadi seorang puteri yang sebenar dari segi adab, percakapan dan bawaan diri oleh ibunya yang amat bertentangan dengan sifat sebenar Merida. Perangai degilnya itu membuatkan ibunya Permaisuri Elinor susah hati kerana anaknya itulah yang diharapkan akan memerintah negara apabila mereka tiada kelak.

Hiccup dalam cerita How to Train Your Dragon juga menunjukkan sikap melawan apabila menentang arahan ayahnya untuk tidak sama-sama terlibat dalam perlawanan dengan naga-naga apabila binatang itu mencuri ternakan penduduk yang akhirnya menyebabkan kebakaran dan kerosakan yang sebenarnya boleh dielakkan terhadap perkampungan yang didudukinya.

Perangai degil dan melawan ini juga dimasukkan dalam watak Milo daripada cerita Mars Needs Mom, Rapunzel dalam Tangled dan Ariel dalam cerita Little Mermaid. Kesemua watak ini merupakan watak utama dalam cerita yang berkenaan dan mereka mempunyai persamaan dari segi sikap memberontak dan tidak patuh kepada orang tua mereka.

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Jika diikutkan jalan penceritaan, memang atas sikap watak-watak inilah yang membawa kepada kebahagiaan, kemenangan dan pengakhiran yang baik di mana semua orang hidup bahagia selamanya. Namun, menurut ajaran Islam, bukan itu yang patut dilakukan oleh seorang anak. Mengatakan perkataan “ah” terhadap ibu bapa juga dilarang sama sekali dalam Islam. Hal ini dinyatakan dalam Al-Qur’an ayat 23 surah Al-Isra’:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kasar kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Naratif filem animasi kini, berubah dari nilai patuh kepada ibu bapa pada dekad sebelum 1990 an, kepada satu bentuk pemberontakan. Ia sebuah nilai yang ditanam awal untuk dituai daripada anak-anak ini apabila mereka menginjak remaja.

Apa yang mereka tonton pada hari ini, ialah persediaan kepada siapa mereka sedang dibentuk untuk bertindak dan berfikir di masa hadapan.

Kita bersungut apabila melihat percambahan masalah dikalangan remaja kita yang seolah mudah hilang sabar, pentingkan diri sendiri, berfikiran singkat, tidak mendengar kata.

Tetapi kita sendiri terlupa apa yang kita suapkan ke dalam perut dan minda mereka sejak mereka masih kecil.

Awas! Anak-anak kita sedang diprogramkan.

Comments