Home Antarabangsa Australia turunkan papan iklan wanita bertudung akibat protes

Australia turunkan papan iklan wanita bertudung akibat protes

Menteri Pelbagai Kebudayaan Victoria, Robin Scott berkata, penurunan papan iklan itu tidak boleh dianggap kemenangan bagi mereka yang memprotes.

SHARE

PETALING JAYA: Kerajaan Australia menurunkan sebuah papan iklan memaparkan imej wanita bertudung yang dinaikkan sempena Hari Australia, selepas mendapat bantahan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Menteri Pelbagai Kebudayaan Victoria, Robin Scott berkata, penurunan papan iklan itu tidak boleh dianggap kemenangan buat mereka yang membantahnya.

“Sesiapa yang menganggap ia satu kemenangan perlu diingatkan kembali tentang makna sebenar Hari Australia,” katanya dipetik portal news.com.au.

Iklan bertujuan mempromosikan upacara menaikkan bendera dan perbarisan sempena Hari Australia, mengundang protes pelbagai pihak yang menganggap ia menghina semangat Australia.

Malah, ada yang berpendapat iklan itu sepatutnya memaparkan latar belakang orang ramai membuat barbeku di pantai untuk mencerminkan gaya hidup orang Australia.

Sebuah badan menentang Islamofobia berkata, bantahan itu bukanlah perkara baru.

“Pemaparan imej umat Islam Australia atau yang berkaitan kepelbagaian budaya sentiasa menerima respons negatif daripada sebahagian kecil komuniti bersuara lantang,” kata Pengasas Islamophobia Register Australia, Mariam Veiszadeh.

Kritikan berbaur Islamofobia di Facebook mendorong ramai netizen yang mengalihkan kemarahan mereka kepada pemimpin Victoria sehingga memberi beliau gelaran “Imam” Daniel Andrews.

Scott membidas mereka yang mengaitkan Hari Australia dengan imej bir, pantai dan barbeku sebagai tidak memahami erti sebenar sambutan tersebut.

Katanya, Hari Australia bertujuan menyatukan semua lapisan rakyat serta meraikan perbezaan yang menjadikan ia sebuah negara hebat.

“Sentimen kebencian terhadap perbezaan agama seperti ini adalah sesuatu yang amat mengecewakan,” katanya.

Victoria merupakan negeri di Australia yang mempunyai undang-undang melindungi kebebasan bangsa dan agama seperti termaktub dalam Akta Toleransi Bangsa dan Agama Victoria 2001.

Free Malaysia Today

Comments