Home Tempatan Atheist Republic Bawa Gerakan Ateisme Evangelikal Menghina Perlembagaan – MACSA

Atheist Republic Bawa Gerakan Ateisme Evangelikal Menghina Perlembagaan – MACSA

SHARE

Kuala Lumpur: Pengerusi dan Pengerusi Bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA), Azril Mohd Amin dan Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan bahawa apa yang dibawakan oleh Atheist Republic adalah gerakan ateisme evangelikal.

“Apa yang Atheist Republic bawa adalah gerakan ateisme evangelikal. Mereka menuntut hak untuk berdakyah menentang kepercayaan bertuhan yang dipegang oleh semua komuniti agama di Malaysia.”

Azril dan Dr Rafidah juga berkata, mempromosikan ateisme evangelikal dengan aktif perlu diletakkan di bawah kategori ucapan kebencian kerana bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan mengganggu gugat keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Menurut Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama Persekutuan; namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni dalam negara. Mempromosikan Ateisme secara aktif jelas menunjukkan satu usaha anti-Perlembagaan yang menggugat keamanan dan keharmonian antara kaum beragama di Malaysia, ia bukanlah satu ucapan yang dilindungi (di bawah kebebasan ekspresi).”

Tambah mereka lagi, gerakan Atheist Republic lebih suka ditindas oleh kerajaan supaya golongan ini boleh menuntut hak-hak mereka yang dinafikan dan supaya mereka boleh mendapatkan sokongan liberal dari seluruh dunia untuk menghentam kerajaan.

“ Atheist Republic tidak berminat untuk mempunyai kebebasan menjadi ateis kerana mereka telahpun memperoleh kebebasan itu di ruangan peribadi mereka. Apa yang mereka mahukan adalah kebebasan untuk mencemarkan kepercayaan orang lain.”

“Justeru, ateisme evangelikal perlu didedahkan kerana ia menyerang budaya, tradisi, dan perpaduan masyarakat Malaysia. Lebih buruk lagi, ia merupakan satu penghinaan terhadap Perlembagaan negara,” tegas mereka lagi.

Sebelum ini Atheist Republic of Kuala Lumpur pernah mengadakan perjumpaan ateis-ateis dari seluruh negara di Kuala Lumpur dan ketuanya Armin Navabi sering menghina umat Islam, Allah dan Rasul melalui video-video atau pendapat-pendapat peribadinya yang dimuat naik di laman-laman media sosial.

Comments