Home Tempatan Ateisme, AMANAH Tak Sokong, Tak Tolak – Ustaz Ahmad Awang

Ateisme, AMANAH Tak Sokong, Tak Tolak – Ustaz Ahmad Awang

SHARE

Kuala lumpur: “Tidak timbul soal sama ada Amanah menolak atau menyokong ateisme ini. Samalah juga kita beri kebebasan beragama kepada agama Kristian bukan bermakna kita menyokong perkara itu, jangan disalah fahamkan,” kata Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Ustaz Ahmad Awang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persoalan apakah secara rasminya Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong atau menolak ateisme kerana pendirian YB Dr Mariah Mahmud dan YB Hanipa Maidin nampaknya bertentangan antara satu sama lain berkenaan isu ateisme yang hangat diperkatakan baru-baru ini di Parlimen.

Menurutnya, “Orang yang beragama bukan Islam itu, adalah satu realiti semenjak dari Nabi ada dahulu. Samalah juga apabila Islam ketika itu memberi kebebasan kepada orang kafir bukan bermakna Nabi menyokong orang kafir.”

“Cuma kita hendak menceritakan tentang hak golongan ateis ini dan jaminan kebebasan melindungi hanya orang yang beragama dan itu tidak timbul soal kita menyokong atau menolak mereka.”

Beliau berkata, pihaknya bercakap tentang apa yang sebenarnya di dalam undang-undang juga apa yang sebenar kalau beliau bercakap di dalam Islam.

“Misalnya saya katakan Islam menyokong kebebasan bersuara hatta orang ateis pun, ini bukan bererti saya orang ateis, tetapi saya hanya menyokong pendirian dan pandangan Islam yang benar,” katanya.

Ustaz Ahmad Awang berkata lagi, “Isu ini merupakan isu ilmiah. Jika mereka tidak faham maka akan timbul salah faham menuduh saya menyokong ateis pula.”

“Yang membuka hati itu Allah, kerja kita adalah berdakwah mengenai Islam agar pihak ini dapat menerimanya sekalipun kepada pihak yang sangat membenci,” katanya.

Beliau berkata, “Jika kita takut ramai di kalangan orang Malaysia ini menjadi ateis maka di sinilah kita perlu berperanan menyampaikan dakwah tentang kebenaran Islam, bukan hanya bercakap tetapi termasuk dengan perbuatan.”

“Namun yang menjadi soalnya sekarang ini kita bercakap mengajak orang masuk Islam tetapi sikap kita berteliti terhadap orang bukan Islam jadi macam mana hendak tarik orang kepada Islam,”katanya.

Menurut Ustaz Ahmad Awang, yang menjadi persoalannya sekarang siapa dia orang ateis itu. Kalau dia orang Islam maka hakikatnya dia jatuh murtadlah, walaupun agama apa yang ingin dianutinya termasuklah tidak beragama seperti golongan ateis ini. Maka kaedahnya dihantar ke pusat latihan bagi pemulihan akidahnya semula sehingga dia sedar dan balik kepada Islam.

Comments