Home Tempatan ASWAJA GESA PIHAK BERKUASA TANGKAP ‘KUMPULAN SESAT’

ASWAJA GESA PIHAK BERKUASA TANGKAP ‘KUMPULAN SESAT’

SHARE

Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWAJA) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan membendung kumpulan serta individu yang membawa fahaman ‘sesat’

Presiden ASWAJA, Dr Zamihan Mat Zin, berkata terbaru Zainah Anwar yang juga salah seorang pemimpin gerakan liberal mendakwa wanita yang ingin berkahwin tidak memerlukan wali.

Zainah yang dipetik sebuah portal mendesak wanita muslim Malaysia supaya mengenepikan keizinan wali untuk bernikah.

“Lebih parah lagi Zainah mendakwa, ‘keizinan wali’ untuk bernikah diambil dari zaman jahiliah sebelum Islam. Kenyataan beliau bukan saja biadap, jahil murakkab, malah ianya jelas bercanggah dan memperlekeh syariat Islam yg menetapkan keperluan kepada keizinan Wali melalui dalil-dalil al-Quran dan Hadis.

“Sebelum ini seorang peguam liberal, Siti Kassim juga (salah seorang penggerak ajaran sesat LGBT di negara ini) mendakwa Allah terhasil melalui getaran. Maha Suci Allah dari apa yang Siti Kassim ucapkan.

“Kedua-dua perbuatan ini jelas melanggar batasan akidah dan menghina syariah Islam. Ia boleh mengakibatkan kedua-dua individu berkenaan menjadi kafir dan terkeluar dari agama Islam. Jika mereka meninggal dunia dalam waktu terdekat mereka akan hilang kelayakan untuk dimandi, dikapan, disolat bahkan mayat mereka tidak layak ditanam di perkuburan Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru, ASWAJA mendesak pihak polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutyan (JAWI) menangkap dan mendakwa mereka ke muka pengadilan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keresahan awam dan mengganggu ketenteraman umat Islam serta menghina agama.

Zamihan berkata, ia penting supaya akidah dan syariat Islam sentiasa terpelihara dari permainan pemikiran jahat dan hati busuk makhluk perosak agama.

“ASWAJA bimbang jika individu atau kumpulan sebegini tidak dikenakan tindakan sepatutnya ia bukan saja akan meruntuhkan akidah dan syariat Islam, malah akan menimbulkan provokasi, keganasan persepsi dan mewujudkan tindakan ekstrem dari kumpulan tertentu ke atas mereka. Akhirnya ia menggugat kehidupan harmoni umat Islam di Malaysia.

“Apa yang lebih ditakuti ialah kemungkinan Malaysia terdedah kepada bala dan kemurkaan Allah SWT apabila kita membiarkan unsur kesesatan bermaharajalela.

“ASWAJA sentiasa bersikap berlapang dada dan terbuka mencari kebenaran. Tetapi dalam masa yang sama kami bersikap tegas dalam menghadapi golongan yang sesat seperti Syiah, Wahhabi, Liberalisme Agama, Qadyani, Bahai, Evangelis dan seumpamanya,” katanya.

Comments