Home Tempatan Askar Wataniah perlu salur maklumat mengenai gerakan atau anasir luar yang mengancam...

Askar Wataniah perlu salur maklumat mengenai gerakan atau anasir luar yang mengancam negara

SHARE

PADANG BESAR, 11 Ramadan 1438H, Selasa – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah anggota Askar Wataniah (AW) perlu bertindak sebagai ejen menyalurkan maklumat berkaitan gerakan atau anasir luar yang cuba mencabar kedaulatan dan keamanan negara di kawasan masing-masing dengan pantas dan tepat.

Baginda bertitah pasukan itu juga menggalas tanggungjawab sama penting dengan barisan utama pertahanan negara kerana pasukan itu mampu memperlahankan pergerakan musuh.

Baginda bertitah sebagai barisan kedua pertahanan negara , peranan Askar Wataniah sebagai pasukan sokongan kepada sistem penstrukturan pertahanan negara amat penting kerana anggotanya memiliki kepakaran dalam bidang mekanikal, elektrikal, perubatan dan teknologi maklumat di samping sumber manusia yang mahir dalam pentadbiran.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Komander 504 AW berpangkalan di Kem Bukit Ketri di sini bertitah pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia (TDM) yang ke-59 peringkat Rejimen 504 di kem tersebut, petang semalam.

Hari ulang tahun AW TDM disambut pada 1 Jun setiap tahun.

Sebelum itu, baginda disambut Timbalan Komander Rejimen 504, Lt Kol Huzaini Hussin sebaik tiba di sirkit merentas halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra kem tersebut. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Zamri Khairuddin.

Comments