Home Antarabangsa AS mula bedil masjid

AS mula bedil masjid

SHARE

BEIRUT – SYRIA. Sekurang-kurangnya 42 terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera selepas sebuah masjid di utara Syria menjadi sasaran bedilan serangan udara Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Ketua Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman berkata, kebanyakan yang terkorban adalah orang awam dan ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan masjid di perkampungan al-Jineh, lebih 30 kilometer barat Aleppo.

Susulan serangan berdarah itu, anggota keselamatan dilaporkan giat melakukan operasi mencari dan menyelamat (Sar) mangsa.

Sementara itu, tentera AS mengesahkan mereka melakukan serangan udara itu dan akan menyiasat laporan yang mendakwa lebih 40 orang awam maut apabila sebuah masjid dibedil.
“Kami tidak menyasarkan masjid tetapi bangunan menjadi tempat pertemuan anggota militan al-Qaeda terletak kira-kira 15 meter dari lokasi kejadian,” kata jurucakap Pusat Perintah AS (Centcom), Kolonel John J Thomas.

Jelasnya, mereka akan menyemak semula dakwaan kematian orang awam dikaitkan serangan udara itu.

Terdahulu, Centcom memaklumkan beberapa anggota militan terbunuh dalam serangan menyasarkan lokasi mesyuarat al-Qaeda di Idlib, namun tidak menyatakan lokasi operasi itu.

Sinar Online

Comments