Home Antarabangsa AS halang bekas PM Palestin jadi wakil damai ke Libya

AS halang bekas PM Palestin jadi wakil damai ke Libya

SHARE
Salam Fayyad

RAMALLAH: Palestin mengutuk keputusan Washington menghalang pelantikan bekas Perdana Menterinya, Salam Fayyad sebagai wakil damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Libya, menyifatkan ia ‘diskriminasi terang-terangan.’

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mencalonkan Fayyad untuk jawatan itu kelmarin dan Majlis Keselamatan dijangka meluluskan pelantikan beliau tanpa bantahan.

Namun lewat semalam, Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Nikki Haley, mengumumkan beliau menggunakan kuasa veto ke atas pelantikan itu kerana ‘buat terlalu lama, PBB secara tidak adil menyebelahi Pihak Berkuasa Palestin (PBB) untuk menjejaskan sekutu mereka di Israel’.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin, Hanan Ashrawi, menolak ‘alasan rapuh’ bagai langkah yang disifatkannya ‘tidak berperikemanusiaan.’

“Menghalang pelantikan Dr Salam Fayyad adalah kes diskriminasi terang-terangan berdasarkan identiti,” katanya.

Fayyad, 64, ialah bekas Perdana Menteri PA dari 2007 hingga 2013, dan berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali.

Beliau dipilih menggantikan Martin Kobler dari Jerman, yang menjadi wakil Libya sejak November 2015.

Presiden Donald Trump dan Haley mengkritik PBB kerana meluluskan resolusi Disember lalu yang menuntut pembinaan penempatan Israel dihentikan. – AFP

Berita Harian

Comments