Home Tempatan Arkitek Rukunegara Bersuara

Arkitek Rukunegara Bersuara

SHARE

Pengerusi Biro Perlembagaan MPM Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menyifatkan  gerakan yang ingin menjadikan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan atau RMP ini sebenarnya  golongan yang tidak memahami  dan menghayati Perlembagaan serta Rukunegara itu sendiri.

Menurutnya, beliau antara salah seorang yang terlibat  dalam menggubal Rukunegara itu pada tahun 1970 selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang mengakibatkan negara berdepan dengan rusuhan kaum.

Kata beliau, ketika itu pihaknya mengenalpasti punca rusuhan itu adalah disebabkan oleh sensitiviti agama dan bangsa. Maka bagi mengelakkan tragedi berulang, Rukunegara telah diwujudkan beserta penggubalan perlembagaan.

Katanya, selepas berbincang, bermesyuarat, mengadakan debat dan dialog bersama rakyat, penelitian hasil kajian telah dibuat, maka hasilnya, empat perkara ini telah dikenalpasti sebagai isu-isu yang sensitif yang boleh menyebabkan berlaku pertelingkahan antara kaum jika tidak dikawal perdebatan mengenainya iaitu kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), Kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152) dan Hak-Hak Kewarganegaraan (Bahagian III), katanya.

“Persoalan isu-isu sensitif dianggap sebagai satu daripada punca rusuhan 13 Mei 1969 dan dengan itu telah diputuskan bahawa empat isu sensitif itu dilarang daripada diganggu gugat atau dipersoalkan.”

Beliau berkata, sejarah pindaan Akta Hasutan 1948 juga berlaku selepas peristiwa 13 Mei 1969. Parlimen telah meluluskan akta itu dan pindaan telah dilaksanakan dengan empat perkara sensitif seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak kecuali dengan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Menurutnya, akta itu memang relevan bagi menjaga keselamatan negara ini yang berlatarbelakangkan kehidupan berbilang kaum, agama dan adat resam masyarakat.

Abdul Aziz berkata, Perkara 10 (Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) telah dipinda bagi membolehkan Parlimen meluluskan undang-undang untuk mengenakan batasan bagi kebebasan bersuara dan larangan mempersoalkan isu-isu sensitif dengan menambah Perkara 10(4).

Malah, Perkara 63 (Hak Istimewa Parlimen) telah ditambah Perkara 63(4) yang menyatakan bahawa Parlimen tidak boleh mempersoalkan empat isu itu ,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, Perkara 159 turut dipinda dengan tambahan Klausa 5 pada perkara 159 yang menetapkan mana-mana pindaan termasuk pemansuhan atau undang-undang diluluskan di bawah peruntukan membabitkan empat isu sensitif itu, tidak boleh diluluskan tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja.

Bagi mengekang dan mengawal rusuhan 13 Mei dan insiden serupa daripada berlaku pada masa depan, katanya Parlimen meluluskan satu undang-undang meminda Akta Hasutan 1948 dengan menambah Seksyen 3(1)(f) yang menetapkan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dihukum bagi sesiapa yang mempersoalkan mana-mana isu sensitif itu.

“Undang-undang pindaan itu diluluskan di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan dan perlu dipatuhi Perkara 159(5), iaitu Parlimen perlu memastikan keputusan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum meluluskan undang-undang atau memansuhkan akta sekalipun telah mendapat 2/3 undi di Parlimen.

Kata beliau, sebenarnya, bukan mudah untuk menggubal atau memansuhkan undang-undang seperti yang mereka katakan. Ini merupakan isu serius. Menurutnya, hasil kajian sebab mengapa berlakunya kejadian 13 Mei pada ketika itu itu adalah disebabkan terdapatnya elemen Komunis yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.

Maka sebab itulah Rukunegara itu diwujudkan dan terdapat  di dalamnya perkara yang pertama “Kepercayaan Kepada Tuhan” bagi menyedarkan dan mendidik rakyat yang hidup di negara ini  agar tahu menghayati dan mematuhi Perlembagaan dan Rukunegara itu sendiri.

“Semua ini dilakukan adalah untuk menyatupadukan  rakyat  serta mempupuk rasa saling hormat menghormati supaya keharmonian yang ada dapat dipelihara agar kejadian berdarah itu tidak lagi berulang,”katanya.

Menurut beliau, rakyat kini cuma perlu lebih menghayati dan memahami  Rukunegara itu sebagai satu bentuk penyatuan bukan perpecahan.

Beliau turut menyarankan pembelajaran mengenai Rukunegara ini perlu ditekankan sejak dibangku sekolah lagi agar kefahaman yang jelas tentang  mesej Rukunegara itu meresap ke dalam diri setiap rakyat seterusnya membentuk jati diri seorang rakyat Malaysia yang baik dan cintakan Negara.

Comments