Home Antarabangsa Arab Saudi buka gimnasium untuk wanita

Arab Saudi buka gimnasium untuk wanita

SHARE

RIYADH: Pihak berkuasa sukan Arab Saudi mengumumkan pembukaan gimnasium untuk wanita yang pertama seumpamanya di negara pengeluar minyak itu, menjelang akhir bulan ini.

Ia bertujuan mempromosi kempen pengurangan berat badan, selain kecergasan dalam kalangan wanita. Bagaimanapun, gimnasium terbabit tidak dibenar mempromosi pertandingan sukan kompetitif.

Seorang kerabat diraja Arab Saudi, Puteri Reema Bandar, berkata gimnasium itu akan dibuka di setiap daerah dan kawasan kejiranan di Riyadh.

Pada masa sama, beliau berharap lebih banyak usahawan terbabit dalam proses pembinaan gimnasium itu, selain mempromosikan lokasinya walaupun projek itu mendapat bantuan kerajaan.

“Sebanyak 250,000 peluang pekerja dijangka diwujudkan daripada inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata, antara kemudahan ditawarkan ialah kolam renang, trek larian dan angkat berat.

Bagaimanapun, sukan kompetitif seperti bola sepak, bola keranjang, bola tampar dan tenis tidak dibenarkan.

Walaupun secara tradisinya, kerajaan Arab Saudi tidak menggalakkan wanita mengambil bahagian dalam sukan, Puteri

Reema mendakwa faedah kesihatan bukan sesuatu yang boleh dipinggirkan.

“Tanggungjawab saya bukan untuk meyakinkan masyarakat tetapi menggalakkan wanita mengamalkan gaya hidup sihat, jauh daripada penyakit disebabkan obesiti dan kurang bergerak,” katanya kepada akhbar Okaz. – AFP

Berita Harian

Comments