Home Tempatan Apakah Kini Kita Dayus? Jemput Akyol Kembali Ke Malaysia — Xifu Naser

Apakah Kini Kita Dayus? Jemput Akyol Kembali Ke Malaysia — Xifu Naser

SHARE

KUALA LUMPUR: Mustafa Akyol perlu dijemput kembali ke Malaysia supaya dapat dilawan hujah oleh tokoh-tokoh akademik terulung kita, desak Abdul Naser Tun Abdul Rahman, atau lebih dikenali sebagai Xifu Naser.

Sikap yang tidak terbuka kepada pengaruh Barat moden zaman ini, tidak mampu hujah lawan hujah adalah sikap dayus, menurutnya lagi.

Tokoh Pendakwah Perak itu mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ke atas kolumnis New York Times itu.

Xifu Naser menyifatkan tindakan menghalang wacana pengaruh Barat moden zaman ini sebagai tindakan dayus dan buta sejarah tamadun Islam.

Beliau berkata, “Kalau dulu kita pernah terbuka kepada pengaruh Barat klasik dalam teologi, mengapa tidak terbuka kepada pengaruh Barat moden zaman ini? Adakah kini kita dayus, tidak mampu hujah lawan hujah?”

“Buta sejarah perkembangan ilmu tamadun Muslim membuat kita menjadi fobia, lalu kita mula tangkap, ban atau halau,” katanya lagi.

Mustafa Akyol telah ditahan beberapa minggu lepas kerana gagal mematuhi surat perintah untuk menghadirkan diri bagi membantu siasatan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau dilepaskan setelah JAWI berpuas hati dengan keterangan yang diberikan, antara lain mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai keperluan untuk mendapatkan tauliah terlebih dahulu bagi memberi ceramah berkaitan Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini pernah menekankan tentang betapa pentingnya keperluan untuk mendapatkan tauliah bagi mengajar atau berceramah berkaitan Islam.

Dalam “Irsyad Al-Fatwa Ke-122“, Mufti itu menjelaskan, “Inilah yang diamalkan oleh negara-negara Islam yang lain seperti di Mesir, Kuwait, Jordan dan seumpamanya.”

“Ini kerana, kita memahami akan kehendak yang ingin dicapai dan tujuan pengajaran agar ianya munasib (sesuai) kepada pengajar dan ilmu yang diajar serta sasaran masyarakat sehingga memperolehi ilmu dengan sebaik mungkin.”

“Pada saat yang sama, antara matlamat tauliah adalah bersifat sad al-zariah (menutup jalan yang membawa kerosakan) untuk mengekang golongan yang tidak layak dan tidak berpengetahuan dalam mengajarkan ilmu.”

“Ini sebagai satu tapisan dalam membezakan di antara yang layak dengan yang tidak berkelayakan,” terangnya lagi.

Comments