Home Tempatan Anuar, Munirah, johan tilawah Perak 2017

Anuar, Munirah, johan tilawah Perak 2017

SHARE
IPOH 28 FEBRUARY 2017. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan hadiah kepada Johan Qari Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Perak, Anuar Hasin (kanan) di Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 1438H/2017M di Pusat Konvensyen Amanjaya Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (dua kanan). NSTP/MUHAIZAN YAHYA.

IPOH: Bekas johan qari kebangsaan 2013, Dr Anuar Hasin, dinobatkan sebagai pemenang qari Tilawah Al-Quran peringkat negeri Perak 2017, malam ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berusia 33 tahun itu memperolehi markah 90.8 peratus.

Tempat kedua menjadi milik Muhamad Kamarulzaman Daud (90.1 peratus) dan Muhamad Fahmi Asyraf Razali (84.85 peratus) di tempat ketiga.

Johan qariah pula disandang oleh Munirah Razali, 28, yang memperolehi markah 84.82 peratus diikuti Nor Salwa Razali (82.16 peratus) dan Norhazira Nabila Mohamad Kamal (80.16). Johan qari dan qariah menerima hadiah wang tunai RM7,500 beserta plak, sijil, hadiah iringan dan pakej haji bernilai RM10,000.

Pemenang tempat kedua menerima wang tunai RM6,000 beserta sijil dan hadiah iringan dan tempat ketiga menerima wang tunai RM4,000, sijil serta hadiah iringan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Pusat Konvensyen Amanjaya Hotel Casuarina Meru, di sini.

Turut berkenan berangkat ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Anuar yang berasal dari Kuala Kurau pernah empat kali menjadi johan qari peringkat negeri.

Munirah yang berasal dari Seri Manjung dan bertugas sebagai guru agama di Sekolah Agama Rakyat di Sitiawan pula pernah menjadi johan qariah negeri pada tahun 2010 dan 2013.

Kedua-duanya akan mewakili Perak bagi tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan, yang akan diadakan di Melaka pada 2 hingga 8 April ini.

Berita Harian

Comments