Home Surat Antara Meraung Membantah di Parlimen & U-Turn Merayu Undi

Antara Meraung Membantah di Parlimen & U-Turn Merayu Undi

SHARE

Demi sesungguhnya bagi mereka yang bersyahadah dengan kalimat Agung: “Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah” dengan pengakuan penuh Rububiyyah dan Uluhiyyah, Sifat dan Asma’-Nya pastinya akan faham bahawa berbohong itu adalah pintu kepada kerosakan dan kehancuran.

Dalam Islam, berbohong amat dimurkai Allah sebagaimana Firman-Nya di dalam al-Qur’an:

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (as-Saff: 2)

Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

(as-Saff: 3)

Sifat tidak berkata benar atau dengan maksud yang negatif dikatakan berbohong itu pula terangkum dalam salah satu daripada empat ciri-ciri orang munafik (maksud hadith sahih riwayat Imam Muslim).

أربع من كن فيه كان منافقا خالصا ومن كانت فيه ‏ ‏خلة ‏ ‏منهن كانت فيه ‏ ‏خلة ‏ ‏من نفاق حتى يدعها إذا حدث كذب وإذا عاهد غدر وإذا وعد أخلف وإذا خاصم ‏ ‏فجر

“Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas” [Hadith Sahih Riwayat Muslim]

Berdasarkan dua nas yang amat jelas di atas, bersifat bohong yang merupakan sebahagian daripada sifat munafik itu sebenarnya boleh mendekatkan tempahan kita ke neraka. Itulah analisa mudah untuk orang yang kuat menipu dan bercakap bohong. Dalam dunia akhir zaman kini, terutamanya kita yang hidup dalam dunia tanpa sempadan masa kini, maklumat boleh dpindahkan kepada orang lain sepantas kilat dengan hanya memetik kibod telefon bimbit atau komputer peribadi. Dan sepantas itulah amalan dosa atau pahala dicatatkan oleh Malaikat Raqib atau ‘Atid.

Kesemua di atas barangkali hanyalah satu segmen daripada “Kursus ISLAM 101” yang diajarkan di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau Universiti Tempatan. Itupun hanya terkesan bagi mereka yang Muslim, yang beriman dengan Malaikat yang menjadi salah satu daripada Rukun Iman dan benar-benar merasai setiap kata daripada sumber ayat al-Qur’an dan Hadith yang disebutkan di atas.  Ini bermaksud: jika ada Muslim yang yakin dengan Kalimat Agung, yakin dengan kebenaran al-Qur’an dan Hadith, tetapi masih berbohong, maka dia masih  melakukan dosa berkenaan; apatah lagi kepada yang tidak percaya, Na’uzubillahi min zalik!

Sidang Dewan Rakyat Penggal ke-13 baru sahaja ditangguhkan pada jam 4 petang, 6 April 2017 dengan merakamkan di antara episod yang amat memalukan dalam sejarah persidangan Parlimen Malaysia. Selepas 20 hari bersidang, Dewan Rakyat menyaksikan 13 Rang Undang-Undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang menjadi perhatian ramai.  Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 yang bermula 6 Mac 2017 itu mencatat rekod persidangan paling panjang apabila berlangsung selama 20 jam sehari sebelum persidangan ditangguhkan sehinggakan ada Ahli Parlimen masih bersidang sehingga hampir jam 4 pagi Khamis yang sama.

Berlangsung di bangunan utama Parlimen setelah menjalani proses pengubahsuaian dan penambahbaikan sejak 2012, persidangan kali ini dirasmikan buat kali pertamanya oleh DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang baru, iaitu Tuanku Sultan Muhammad V. Ketika bertitah, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam. Selepas sesi perbahasan dan penggulungan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung selama seminggu, persidangan Dewan Rakyat mulai panas apabila beberapa Rang Undang-Undang dibentang dan dibahaskan terutamanya Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Namun tiada yang lebih panas daripada Usul Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355 oleh YB Marang.  Kita lihat YB Lim Kit Siang (DAP) begitu lantang cuba membantah pembentangan RUU 355 oleh Marang dengan segala alasan dan kerenahnya sehingga hampir dihalau keluar oleh Tan Sri Speaker, diikuti oleh rentetan Ahli YB Pakatan Harapan lain daripada parti PKR dan PAN.

Seluruh rakyat Malaysia dapat menyaksikan aksi akhlak murah kelas terbawah yang dipamerkan itu. Kita terfikir sejenak: bagaimanalah perasaan rakyat di Gelang Patah, Puchong, Gopeng, Shah Alam, Parit Buntar dan seangkatan dengannya apabila melihat aksi terjerit-jerit bagaikan terkena sawan Ahli-Ahli  Parlimen yang telah mereka lantik itu mewakili mereka di Dewan Parlimen yang sering disebut oleh semua Ahli Dewan sebagai “Dewan yang mulia” itu?  Mungkinkah nasib YB-YB berkenaan akan berubah dalam PRU ke-14 akan datang?

Itulah resonance yang hangat di Dewan Parlimen 6 April, 2017 yang bahangnya diteruskan di media laporan berita TV dan radio malamnya, disiarkan di dada utama akhbar-akhbar media mainstream.  Mood dan mesej yang ada amatlah jelas: “Ahli Parlimen PAS dan UMNO saling menyokong Usul RUU 355 berkaitan usaha-usaha memperkasakan dan mendaulatkan Islam dalam Undang-Undang negara oleh YB Marang manakala Ahli Parlimen DAP, PKR dan PAN menentang Usul berkenaan”.

Kemuncak kemarahan YB-YB Pakatan Harapan ialah apabila Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku Speaker telah menggunakan kuasa penuhnya menangguhkan sidang Dewan Rakyat tanpa bahas. Ini dilakukannya kerana pada ketika itu, beliau selaku Speaker Dewan Rakyat adalah “very powerful” dan tidak ingin menjadi “Bloody Fool” jika tidak menggunakan kuasa penuh tersebut!

Maka kita yang menonton di kaca laptop dan TV juga terfikir: jika Ahli Palimen boleh juga tunduk sedikit sebagai tanda hormat tertib Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat ketika masuk sebelum duduk dan bangun tunduk sebelum keluar dalam setiap sesi kehadiran di tempat duduk masing-masing, bukankah sikap separuh gila yang dipertontonkan itu adalah lakonan terhebat aksi munafik bagi Ahli Dewan yang beragama Islam? Yang bukan beragama Islam itu, tak payah nak komenlah – boleh rujuk URL web jawapan Dr. Zakir Naik kepada soalan penonton tentang orang bukan Islam, neraka dan syurga!

Namun  apa yang paling memeranjatkan lagi ialah sikap U-Turn lagi mengecewakan warkah daripada seorang pesalah di Penjara Sungai Buloh yang mengetuai sebuah parti yang wakil-wakilnya baru saja bertelagah membantah Usul RUU 355 berkenaan.  Pesalah itu meminta ahlinya supaya menyokong Usul berkenaan kerana Usul itu, menurutnya bermaksud untuk “pemerkasaan Mahkamah Syariah yang wajar dipersetujui secara prinsip oleh semua”. Semoga unjuran U-Turn itu dilakukan kerana Allah dan bukannya kerana kepentingan peti undi dalam PRU-14!

Dan kita mohon keampunan Allah atas setiap dosa yang kita lakukan di bumi yang mana nyawa kita dipinjamkan-Nya untuk seketika.

M. Kamal Affandi, merupakan pembaca Menara.my dan artikel di atas adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mewakili pandangan Menara.my.

Comments